Panasnya Hari Ini

Najib Mohon Mahu Periksa Sendiri Barang Disita Polis

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memohon untuk mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa secara fizikal barangannya yang disita Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini sudah memfailkan permohonan di mahkamah untuk melihat foto barangan berkenaan.

Memetik laporan BH Online, pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata, pihaknya dimaklumkan pihak Pejabat Peguam Negara, bahawa mereka boleh meneliti semua foto barangan yang disita itu.

Muhammad Farhan berkata, anak guamnya hari ini bagaimanapun memfailkan permohonan baharu, iaitu untuk memeriksa sendiri secara fizikal harta itu.

Selain Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa turut memfailkan permohonan pemeriksaan fizikal pada 19 Julai lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sehubungan itu menetapkan pada 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan ketiga-tiga pemohon.

Hakim menetapkan tarikh itu pada prosiding pengurusan kes permohonan Pendakwa Raya melucut hak harta ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada Najib dan Rosmah serta tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aaron Chelliah memberitahu mahkamah, SPRM sudah mewartakan notis pelucutan hak harta kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap harta itu pada 8 Ogos lalu.

Pada prosiding sama, peguam Muhamad Al Muazzim Azmi Amin hadir bagi pihak Malayan Banking Berhad selaku pihak ketiga berkepentingan, berkata, pihaknya hadir di mahkamah bagi mendapatkan arahan sama ada ia berhak menuntut wang disita bagi melangsaikan pinjaman beberapa responden dalam kes melucut hak harta terbabit.

Mohamed Zaini kemudian memerintahkan Malayan Banking Berhad mengkaji statusnya terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum memfailkan sebarang permohonan untuk menuntut wang yang disita SPRM berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Pendakwa Raya mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkepentingan hadir ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan dan memberikan alasan mengapa harta terbabit tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");