Berita Hari Ini

Nama ´Malaysia Sports Challenge´ Bukan Rendahkan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong tidak melihat penggunaan nama ‘Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19)’ sebagai satu tindakan merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Steven sebaliknya berkata ia antara lain bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Beliau berkata penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sukan tempatan, malah turut melibatkan sektor sukan antarabangsa.

“Kita ada banyak syarikat jenama sukan antarabangsa yang mempunyai pasaran di sini dan kita ingin menarik perhatian dan juga penyertaan mereka dalam aspek ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Majlis Hi Tea bersama penaja di sini, pada Rabu, lapor Bernama.

Pelaksanaan MySC’19 merupakan usaha penambahbaikan kepada Hari Sukan Negara (HSN), yang akan berlangsung selama 31 hari sepanjang bulan Oktober berbanding HSN yang dilaksanakan hanya satu hari pada minggu kedua Oktober.

Ia merupakan cetusan idea Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyasarkan seramai lima juta orang, dengan melibatkan penyertaan 154,925 peserta di peringkat kebangsaan, 2,649,075 (negeri) dan 2,196,000 peserta peringkat daerah.

Mengulas lanjut, Steven optimis penggunaan bahasa Inggeris pada program tersebut tidak akan menjadi tembok penghalang kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakannya.

“Saya rasa tiada masalah kerana intipatinya masih lagi Malaysia, penganjurnya Malaysia (kerajaan) dan pesertanya juga orang Malaysia.

“Tidak kira apa jenama atau bahasanya, saya rasa orang Malaysia tidak janggal untuk berhadapan dengan penggunaan bahasa itu,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");