Perak Hari Ini

NGO Sifatkan Insiden Pasang Bendera Terbalik Seperti Tindakan Menghina Agong

IPOH: Polis diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu ataupun pihak yang seolah-olah sengaja memasang bendera Malaysia secara terbalik di premis masing-masing.

Pengerusi Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi (Sahabat), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata tindakan tersebut juga dapat disifatkan sebagai tindakan yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Sepatutnya bendera Malaysia ini dipasang dengan aturan dan kedudukan yang betul. Namun, mereka pula seperti sengaja menterbalikkan bendera itu. Apabila ia terbalik, warna kuning yang melambangkan seperti Raja dan Islam berada di bawah.

“Pada saya ia sudah melanggar etika kita sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan negara. Apabila bendera dipasang secara terbalik, seolah-olah ‘meletakkan’ Yang di-Pertuan Agong di bawah.

“Adakah ini tujuan yang disengajakan atau ‘mereka’ memberikan isyarat sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia, atau ia sebagai satu protes? Mereka ini seolah-olah sudah mencabar Yang di-Pertuan Agong.

“Saya dan organisasi bukan kerajaan (NGO) di Perak ini meminta supaya kita semua buat laporan polis dan minta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ujar Syamsul selain di negeri lain, antara premis di Perak yang dipercayai melakukan kesalahan demikian antaranya berada di Bercham.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika di temui di Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini.

Sekitar 20 NGO Perak hadir di sini bagi membuat empat laporan polis berkaitan isu tersebut selepas ia tular di laman-laman sosial sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini, media melaporkan UMW Toyota telah membuat permohonan maaf menerusi Facebook Toyota Malaysia, atas kesilapan sebuah premis pengedarnya yang menggantung bendera terbalik.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Syamsul berkata semua pihak seharusnya bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka.

“Ia seolah-olah menjadi satu ‘trend’. ‘When the damage is done’, kemudian baru minta maaf. Mana boleh begitu. Ia menimbulkan rasa kurang senang pada rakyat Malaysia dan kami sekali lagi meminta pihak polis mengambil tindakan tegas,” katanya.

Menurut beliau, kejadian seumpama itu bukanlah pertama kali sebaliknya ia pernah berlaku sejak sebelum daripada Pilihanraya Umum yang lalu.

Kata Syamsul, sekiranya perkara tersebut tidak ditangani dengan segera dan tegas, tidak mustahil ia akan tetap berulang pada masa akan datang.

“Marilah kita menyahut seruan Perdana Menteri menerusi tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Bersih’. Jadi, mari kita bersihkan anasir-anasir kotor ini daripada pemikiran rakyat Malaysia,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");