Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika dia hadir untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

“Dia telah ditangkap pukul 7 malam tadi di IPD Seremban. Kes diserah kepada Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Semalam, beliau memaklumkan polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter yang memuat naik ciapan mendakwa remaja Ireland itu yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di sini sejak 4 Ogos lalu dirogol oleh Orang Asli.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Gadis yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.

Hasil bedah siasat keatas mayat Nora Anne di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini Rabu lalu mendapati gadis tersebut meninggal dunia akibat usus bocor disebabkan tidak makan untuk tempoh yang panjang lapor Kosmo Online.