Berita Hari Ini
Like

Notis Merah Dikeluarkan Terhadap Nik Faisal, Jho Low

August 22, 2019
210 Views
0 Comments
3 minutes read
Notis Merah Dikeluarkan Terhadap Nik Faisal, Jho Low

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa notis merah yang dikeluarkan Interpol terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil adalah atas dakwaan terlibat dalam pecah amanah dan penyelewengan dana SRC.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain, 54, berkata demikian semasa disoal peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang masuk hari ke-56.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa sebelum notis merah dikeluarkan, waran tangkap dikeluarkan terlebih dahulu terhadap Nik Faisal bersama dengan pertuduhan yang didaftarkan di Mahkamah Kuala Lumpur atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah ke atas aset SRC.

Harvinderjit: Kandungan red notice (notis merah) yang dikeluarkan terhadap Nik Faisal adalah sama dengan red notice ke atas Jho Low?

Rosli: Ya

Harvinderjit: Dalam red notice terhadap Jho Low dikatakan Jho Low terlibat dalam pecah amanah jenayah dan penyelewengan wang SRC?

Rosli: Ya

Harvinderjit: Selain itu imej-imej yang dihantar ke beberapa negara juga mengatakan Jho Low dan Nik Faisal adalah suspek dalam penyelewengan wang SRC?

Rosli: Ya

Notis merah yang dikeluarkan Interpol melalui Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman merupakan satu notis amaran bagi usaha mencari dan menangkap individu yang dikehendaki untuk kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa.

Kepada soalan peguam, semasa SPRM merekodkan percakapan Nik Faisal di Jakarta, apa keterangan Nik Faisal tentang Najib, dan sebelum saksi pendakwaan ke-57 itu memberikan jawapan, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membantah soalan itu kerana ia menjurus kepada intipati percakapan Nik Faisal.

Rosli juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pergi ke Itali untuk membuat siasatan terhadap pembelian barang kemas oleh Najib pada Ogos 2014.

Harvinderjit: Adakah tuan pergi ke Itali untuk dapatkan bukti tentang apa barang yang dibeli?

Rosli: Kalau tanya saya, saya nak pergi, seronok kan kalau dapat pergi

Jawapan saksi itu mengundang ketawa daripada semua yang berada di dalam mahkamah.

Harvinderjit: Tapi tuan tak pergi ?

Rosli: Ya, saya tak pergi.

Harvinderjit: Sebab apa tuan tak pergi, adakah kerana pembelian itu dikatakan dibuat untuk hadiah kepada pemimpin luar negara.

Rosli: Setakat keterangan yang ada, dah boleh untuk membuat pertuduhan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa dua kad kredit milik Najib digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta dalam masa satu hari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 8 Ogos 2014.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.