Berita Hari Ini

Orang Ramai Perlu Berani Tegur ‘Kutu Sampah’ – Zuraida

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melancarkan satu kempen baru dipanggil kempen “Berani Tegur” tidak lama lagi sebagai usaha menangani golongan kutu sampah.

Kata menterinya, Zuraida Kamaruddin, masyarakat sepatutnya menerapkan budaya berani untuk menegur mana-mana pihak yang melakukan amalan buruk seperti itu.

“Saya hanya perlu 10 persen daripada rakyat Malaysia yang ada sikap macam ini, berani tegur orang yang suka buang sampah merata-rata. Insya-Allah (jika begini), seluruh Malaysia ini akan jadi bersih.

“Saya akan lancarkan kempen ini untuk gesa orang ramai jangan jadi penakut bila nampak perkara-perkara tak betul. Orang yang terima teguran tu pula tak bolehlah marah-marah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program komuniti ‘Little River Festival 2019’ di Taman Melawati, Kuala Lumpur pagi ini.

Kutu sampah merujuk kepada golongan yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.

Majlis perasmian itu anjuran persatuan ‘Friends of Sungai Klang’ bahagian Taman Melawati.

Zuraida berkata, dalam memastikan kebersihan, rakyat tidak boleh hanya bergantung pada penguatkuasaan oleh pihak berkuasa semata-mata.

“Kalau nak bergantung pada pegawai penguatkuasa, berapa sangat mereka mampu tahan (pesalah)?”

“Ini perlu dilakukan melalui kesedaran. Ia akan ambil masa yang lama (untuk mengubah sikap) jika kita tak tingkatkan kesedaran.

“Kita tak ada ramai pegawai penguatkuasa di negara ini. Kita sendiri kena jadi pegawai penguatkuasa. Ini perlu datang daripada rakyat Malaysia sendiri,” katanya lagi.

Dalam ucapan perasmiannya, Zuraida turut memuji sukarelawan atas usaha dan kerja keras mereka.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan, meskipun dengan usaha yang baik daripada golongan itu, ia tidak akan berjaya jika pencemaran alam sekitar terus dilakukan oleh rakyat yang lain.

Katanya, setiap orang harus mula memainkan peranan masing-masing untuk mengingatkan satu sama lain agar tidak memusnahkan alam sekitar.

Sementara itu, pengasas persatuan (Taman Melawati), Mansor Ghani dalam ucapan alu-aluannya berkata persatuannya mahu menumpukan usaha untuk menaik taraf keadaan di sepanjang Sungai Klang dengan menyediakan kemudahan-kemudahan di sungai, selain menganjurkan aktiviti bagi membersih dan mencantikkan lagi kawasan tersebut.

Katanya, mereka sedang berusaha untuk menjaga laluan-laluan sungai, dan mahu menjadikan kawasan tebing sungai sebagai kawasan rekreasi di mana aktiviti riadah seperti joging, berbasikal dan berkelah dapat dilakukan.

Katanya lagi, belanjawan untuk aktiviti-aktiviti mereka datang daripada sukarelawan sendiri selain dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada sektor korporat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");