Berita Hari Ini

Padah Menyamar Polis

LANGKAWI: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar selepas menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang etnik Rohingya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata semua suspek terbabit berusia di antara 28 dan 50 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Beliau berkata, kejadian peras ugut terhadap mangsa etnik Rohingya yang menyewa sebuah bilik di Kampung Didik, Mukim Kuah, di sini, berlaku pada jam 1 tengah hari kelmarin, manakala semua suspek ditahan pada jam 9.56 malam hari sama.

“Siasatan mendapati keempat-empat suspek datang ke rumah mangsa memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum dua daripadanya masuk ke bilik dan memeras ugut mangsa supaya menyerahkan sejumlah wang jika mahu menjalankan perniagaan di kawasan itu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di dalam bilik sewa itu bersama dua rakannya dan memberitahu suspek bahawa dia tidak mempunyai wang ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Iqbal berkata, berikutan itu seorang daripada suspek kemudian mengarahkan mangsa berusaha mencari wang dan perlu menyerahkannya di sebuah restoran di Kuah selepas solat Jumaat pada hari sama.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan persekitaran bilik sewa yang didiami mangsa tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan mangsa juga tidak mengenali suspek kerana pertama kali berjumpa.

“Berpandukan keterangan mangsa dan dua rakannya, keempat-empat suspek berjaya ditahan polis di sebuah rumah rehat di Pantai Chenang dan Kampung Tanjung Mali di sini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kesemua suspek mengaku melakukan jenayah itu dengan tiga daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat suspek mendapati kesemuanya negatif.

“Kesemua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 385 dan 170 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan menyamar penjawat awam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");