Sukan Hari Ini
Like

Pahang Tempah Tiket Suku Akhir

August 25, 2019
287 Views
0 Comments
2 minutes read
Pahang Tempah Tiket Suku Akhir

Gol tunggal  perlawanan menerusi Dickson Nwakaeme sudah cukup untuk mengangkat Pahang selaku pasukan pertama yang mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengekalkan rentak kemenangan dalam aksi keempat Kumpulan C di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi.

Tok Gajah kehilangan beberapa tonggak utama yang terdiri daripada Muslim Ahmad dan Mohamadou Sumareh yang tidak cergas sementara Safuwan Baharuddin pula menjalani penggantungan.

Penyerang import Sabah dari Angola, Aguinaldo, membuka permainan, yang tertangguh ekoran masalah lampu limpah, dengan mencemaskan pintu gol Pahang tetapi menemui ruang yang sempit untuk menyudahkan larian derasnya.

Tersentak dengan amaran awal itu, tuan rumah berusaha mencari gol awal menerusi rangkaian serangan daripada Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi dalam tempoh 10 minit pertama.

Sentuhan penyerang yang digelar ‘Orang Besi’ itu mengatasi pertahanan sebelum memusingkan badan, namun percubaannya melewati palang gol.

Pintu gol skuad pelawat kendalian Jelius Ating itu, yang belum meraih sebarang kemenangan, terus diasak yang menyaksikan Evan Wensley hampir tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menyekat hantaran Kaimbi yang mencari Saddil Ramdani.

Penjaga gol Tambadau, Mohd Sakri Masri, tangkas untuk merebahkan badan bagi menepis rembatan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, disusuli sepakan percuma Nwakaeme yang mengenai palang untuk kedudukan seimbang dalam separuh masa pertama.

Namun, juara Liga Perdana itu akhirnya dibolosi apabila penyerang kelahiran Nigeria itu bijak menguis masuk tandukan Matthew Davies ketika situasi kelam-kabut berikutan sepakan sudut pada minit ke-58 untuk gol peribadi ketiganya dalam kempen ini.

Juara 2013 dan 2014 itu sepatutnya melebarkan kedudukan dua minit kemudian tetapi umpanan Nor Azam Azih gagal disambar rakan sepasukan.

Dalam 10 minit terakhir, anak buah Dollah Salleh meningkatkan serangan tetapi digagalkan dengan penyudah tumpul lapor Astro Awani.

Keputusan lain:

PULAU PINANG 1 PERAK 1
MELAKA UNITED 1 FELDA UNITED 3

Komen & Pendapat

Comments are closed.