Panasnya Hari Ini

PAS Saran DAP Tinggalkan Kabinet

PAS menyarankan semua wakil DAP dalam kabinet meletak jawatan susulan dua isu yang disuarakan bercanggah dengan pendirian kerajaan mutakhir ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia melibatkan isu ekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan isu pelaksanaan jawi dalam subjek Bahasa Melaysia tahun empat di sekolah vernakular lapor MKini.

Beliau mendakwa, DAP hanya mementingkan kepentingan parti dan tidak mahu mengangkat semangat tanggungjawab kolektif dalam kabinet.

“Isu ekstradisi Dr Zakir Naik telah dijelas dan dijawab dengan baik oleh Kementerian Dalam Negeri. Namun, ia tetap ditekan oleh DAP.

“Begitu juga dengan isu pelaksanaan tulisan khat. Walaupun telah dimuktamadkan oleh perdana menteri, namun masih wujud penentangan keras dari DAP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hal ini jelas menunjukkan ketidakserasian dalam kalangan komponen PH terhadap dasar-dasar kerajaan.

Terdahulu dalam isu melibatkan Zakir, pendakwah kontroversi dari India, Penasihat DAP Lim Kit Siang menarik perhatian umum selepas menyokong pendapat seorang penulis – Anas Zubedy, supaya Zakir keluar daripada Malaysia secara sukarela.

Alasannya kerana kehadiran Zakir boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga, persepsi bukan Islam terhadap Islam, perbandingan agama sesuai di negara ini serta melambatkan pemulihan politik Malaysia.

Dalam perkembangan isu tulisan jawi dan seni khat pula, sebahagian pemimpin DAP dan masyarakat Cina menyatakan bantahan terhadap pelaksanaannya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, perdana menteri tidak boleh membiarkan kemelut itu berpanjangan kerana akan mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Saya juga telah menegaskan sebelum ini bahawa banyak agenda kerajaan akan disabotaj oleh komponen PH sendiri kerana tiada tanggungjawab kolektif dalam kalangan mereka.

“Perkara ini akan mempengaruhi sentimen dan keyakinan pihak luar terhadap negara,” katanya yang juga anggota parlimen kubang Kerian.

Justeru, beliau menegaskan agar mana-mana anggota kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan perlu mengundurkan diri agar tidak menjadi duri dalam kabinet.

“Negara perlukan kabinet yang lebih kuat, bersatu hati dan lebih kukuh untuk melonjakkan Malaysia ke arah yang lebih baik,” kata Tuan Ibrahim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");