Berita Hari Ini

Patuhi Gaji Minimum RM1,100 – Mahfuz

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Sumber Manusia tidak akan menerima sebarang alasan bagi majikan di Malaysia mengelak mematuhi penyelarasan gaji minimum RM 1,100 yang sudah ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata kementerian itu memandang serius perkara berkenaan dan ingin memastikan setiap majikan mematuhi peraturan itu.

Beliau berkata tidak ada sebab untuk majikan mengingkari arahan berkenaan seperti yang sudah ditentukan mengikut sistem perundangan ditetapkan kerajaan.

“Semakan dari semasa ke semasa akan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memastikan semua majikan mematuhi arahan ini. Pekerja boleh membuat aduan jika mendapati majikan gagal mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Pekerja tidak perlu bimbang kerana JTK sentiasa merahsiakan maklumat yang disalurkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Konvoi Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 di Pusat Membeli-Belah The Summer di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JTK Sarawak, Awang Raduan Awang Omar. Program itu bermula dari Kota Samarahan, diikuti Betong dan Sibu, yang akan berlangsung pada 17 Ogos. Program sama akan berakhir di Miri pada 19 Ogos ini.

Mahfuz berkata golongan belia yang masih mencari pekerjaan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan di negara ini saja, sebaliknya perlu berani merebut peluang pekerjaan di luar negara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, mahu supaya rakyat berhijrah dan bersedia untuk bekerja di luar negara.

“Misalnya, Turki memberi peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor dan kementerian sedia mengambil langkah perlu untuk membantu mereka yang berminat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan 93 majikan sepanjang program itu lapor BHarian.

“Program itu dimulakan sejak 2017 untuk membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan, sebagai langkah efektif kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");