Sukan Hari Ini
Like

Penaja Main Peranan

August 9, 2019
384 Views
0 Comments
2 minutes read
Penaja Main Peranan

“SAYA rasa simpati dan kasihan kepada pemain yang menjadi mangsa keadaan dan tidak mendapat gaji”, kata pemain kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Jelas penyerang kelab Fagiano Okayama di Liga Jepun itu, isu pembayaran gaji membabitkan pemain di Liga Malaysia (Liga M) amat menyedihkan ketika dia pula mendapat layanan yang jauh lebih baik bersama kelabnya meskipun sekadar beraksi di Liga 2 Jepun (J2) itu.

Jelasnya, pembabitan aktif syarikat swasta sebagai penaja banyak menyumbang dana pasukan hingga langsung tidak kedengaran isu tunggakan gaji sama ada di J1 ataupun J2.

Katanya, sejak dia menandatangani kontrak bersama Fagiano Okayama pada 21 Disember tahun lalu, kelabnya tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawab dengan setiap 25 haribulan pemain akan menerima gaji mereka.

“Pada pendapat saya, antara faktor yang membantu pasukan di sini stabil dan berjaya adalah semuanya kerana penaja. Penaja di sini begitu banyak dan mereka ada unit tertentu untuk mendapatkan tajaan. Kehadiran penaja sememangnya membantu pasukan dan difahamkan, jumlah penajaan adalah tinggi.

“Mungkin ini antara sebab mereka tidak berdepan masalah dan pasukan Liga M boleh mencontohi apa yang pasukan di sini lakukan dalam mencari penaja untuk menstabilkan kewangan.

“Ini membuatkan saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar buat saya sepanjang berada di sini. Saya harap masalah itu dapat diselesaikan dengan baik dan cepat untuk membantu mereka yang terjejas. Semoga perkara sebegini tidak akan diulangi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada di sini, semalam, lapor Harian Metro.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, PFAM ‘diserang’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menyifatkan pendedahan Izham itu tidak berasas dan mempunyai agenda tersendiri.

Komen & Pendapat

Comments are closed.