Berita Hari Ini

Pengguna PLUS Boleh Bayar Tol Guna Kad Kredit, Debit

SUBANG: Menjelang akhir tahun ini, pengguna PLUS Malaysia Bhd (PLUS) boleh membuat pembayaran terbuka melalui kad kredit atau kad debit yang dihubungkan terus kepada sistem pengenalan frekuensi radio (RFID), selain daripada kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTAG.

Bagi merealisasikan perkara itu, PLUS kini dalam proses menaik taraf infrastruktur membabitkan plaza tol di lebuh raya kendalian bertujuan menawarkan lebih banyak pilihan mod pembayaran buat pengguna.

Dengan kemudahan terbaharu itu, pengguna PLUS tidak akan perlu lagi bersusah payah ke kiosk atau kaunter untuk menambah nilai pada kad TnG selain tidak perlu risau dengan masalah baki tidak mencukupi.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata apabila naik taraf itu selesai akhir tahun ini, pengguna boleh membuat pembayaran terbuka itu dengan menghubungkan kad kredit, kad debit atau mana-mana e-dompet ke RFID PLUS.

Selain itu, PLUS juga katanya dalam proses untuk membolehkan pengguna membuat pilihan pembayaran menggunakan TnG eWallet.

Beliau berkata, kaedah itu boleh membantu mengurangkan kesesakan sewaktu pembayaran di pondok tol, selain mengelakkan masalah baki pada kad TnG yang tidak mencukupi akibat pengguna terlupa untuk menambah nilai.

“Salah satu daripada punca utama kesesakan di plaza tol sebenarnya berpunca daripada kaedah pembayaran di plaza tol itu sendiri sama ada pembayaran menerusi kad TnG atau SmartTAG yang disebabkan oleh masalah baki kurang yang menyebabkan palang tol tidak akan terangkat,” katanya kepada BH ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, satu lagi punca adalah tabiat pengguna itu sendiri yang sering kali terlupa untuk menambah nilai.

Ini kerana, katanya pengguna kebiasaannya akan meninggalkan kad TnG di dalam kereta dan tidak membawanya bersama-sama, berbeza dengan dompet atau telefon pintar.

“Justeru, melangkah ke hadapan, kami sedang pada peringkat untuk mewujudkan lebih banyak pilihan pembayaran dengan menjadikan kad debit dan kredit sebagai antara mod pembayaran dengan harapan dapat mengatasi masalah kesesakan di lorong tol,” katanya.

Dalam perkembangan lain Azman berkata, PLUS kini sedang menaik taraf 1,400 video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya kepada kamera jenis definisi tinggi ultra (UHD).

Katanya, ketika ini hanya 10 peratus CCTV sudah dinaik taraf kepada jenis UHD, yang akan turut dilengkapi dengan perisian analitik video bagi menyediakan data keadaan trafik dan punca kesesakan kepada PLUS.

“Dengan penggunaan kamera lebih canggih ini, PLUS berupaya untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada pengguna jalan raya secara visual dengan lebih tepat dan pantas.

“Imej yang dirakamkan oleh CCTV ini boleh dilihat sendiri oleh pengguna di aplikasi mudah alih PLUS, jadi sepanjang perjalanan pengguna boleh mengetahui keadaan semasa trafik.

“Sebaik perisian analitik video ini dibangunkan sepenuhnya dan dipasang di semua CCTV di lebuh raya kami, syarikat akan memasangnya di semua 24 kawasan rehat dan rawat pula,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");