Berita Hari Ini

Penumpang Puas Hati Operasi KLIA Kembali Lancar

SEPANG: Sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini kembali beroperasi seperti sedia kala selepas mengalami gangguan teknikal sejak Rabu lalu.

Sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi dan Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kembali berfungsi, malah kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) tidak lagi dilakukan secara manual.

Tinjauan mendapati rata-rata penumpang yang ditemui memaklumkan tidak perlu menunggu lama untuk daftar masuk berikutan keadaan sistem yang kembali pulih.

Anjali Gautham, 45, dari India, berkata beliau tidak perlu menunggu lama kerana urusan daftar masuk di kaunter berjalan lancar.

“Saya sedar mengenai masalah teknikal dialami KLIA sebelum ini, malah sudah dimaklumkan lebih awal menerusi emel bahawa penerbangan saya akan lewat sejam.

“Hari ini urusan daftar masuk juga berjalan lancar, hanya 15 minit dan saya berpuashati,” katanya menaiki penerbangan ke New Delhi.

Perasaan sama turut dikongsi penumpang ke Perth, Australia, Chris Anns, 60, yang menyifatkan urusan daftar masuk tidak berhadapan masalah.

“Semua berjalan lancar, cuma perlu berbaris sedikit lama, tapi urusan di kaunter sangat OK,” katanya.

Seorang lagi penumpang rakyat tempatan, Saidatul Said, 27, berkata beliau sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kelewatan penerbangannya ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya sudah dimaklumkan penerbangan saya akan lewat satu jam. Apapun saya mengikut nasihat perjalanan dikeluarkan MAHB, datang awal untuk daftar masuk.

“Semuanya berjalan lancar di kaunter, proses daftar masuk tidak terlalu lama dan harap penerbangan saya juga dapat mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, MAHB menerusi kemaskini situasi di KLIA hari ini memaklumkan, gangguan rangkaian berjaya diselesaikan dan keadaan di Terminal Utama KLIA terkawal.

“Setakat jam 11 pagi, gangguan rangkaian berjaya dipulihkan, pihak kami bagaimanapun akan terus memantau kestabilan sistem rangkaian di KLIA,” kata MAHB dalam kemaskini di Instagram.

Dalam pada itu, jurucakap MAHB berkata, masalah teknikal berlaku di lapangan terbang seluruh dunia.

“Ada lapangan terbang yang terpaksa ditutup, atas sebab-sebab tertentu seperti serangan siber, protes dan masalah teknikal.

“Namun, kita bersyukur operasi KLIA masih berjalan tanpa perlu lapangan terbang ini ditutup,” katanya.

Sementara itu, MAHB menerusi Duta Airport CARE mengambil inisiatif dengan mengedarkan minuman dari jam 6.30 pagi hingga 9 pagi serta pemberian pek makanan tengah hari kepada penumpang selepas mendaftar masuk.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata masalah gangguan sistem dialami di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau berkata sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");