Berita Hari Ini

Penyelewengan Dana SRC: Hanya Najib Ada Kepentingan Kata Saksi

 Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa hanya Najib Razak mempunyai kepentingan dalam penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bukannya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, berkata demikian ketika disoal peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-56 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Secara keseluruhan, penyelewengan dana SRC dibuat oleh Jho Low dan sekutunya?

Rosli: Saya tidak setuju.

Harvinderjit: Secara keseluruhan berdasarkan transkip Black Berry Message (BBM) saya mencadangkan Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam mana-mana pengeluaran duit dalam SRC?

Rosli: Jho Low tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini, hanya Najib mempunyai kepentingan.

Saksi itu juga menafikan sekeras-kerasnya cadangan peguam bahawa SPRM memberi tekanan kepada bekas pengarah SRC Suboh Md Yassin yang merupakan saksi pendakwaan ke-42 supaya menukarkan keterangannya yang diberikan kepada suruhanjaya itu.

Harvinderjit: Saya mencadangkan SPRM memberi tekanan kepada Suboh untuk menukar kenyataan supaya Najib boleh dituduh di mahkamah?

Rosli: Tidak.

Harvinderjit: Saya mencadangkan awak menerima arahan untuk menukarkan kenyataan Suboh?

Rosli: Tidak ada sama sekali. Saya pegawai penyiasat kes ini. Saya bertanggungjawab atas kes ini.

Beliau berkata SPRM merekod kenyataan Suboh sebanyak enam kali yang mana kali pertama direkod di Abu Dhabi yang turut dihadiri peguamnya Selvam Mutiah.

“Ia dirakam di luar negara, saya berasa agak kurang selesa dengan hasil itu. Saya berasa ragu-ragu. Saya sekali lagi mahu mengambil keterangan beliau kerana Suboh merupakan saksi kes ini dan bukannya tertuduh. Kemudian saya mengarahkan Suboh kembali ke tanah air dari Indonesia.

“Saya kemudian mengarahkan pegawai saya merakam percakapan Suboh. Saya juga tidak pernah berjumpa dengan Suboh. Saya tak buat apa-apa campur tangan dalam merakam percakapan Suboh kerana kes ini membabitkan “orang nombor satu”.

Ketika ditanya proses pengambilan keterangan daripada Suboh, saksi itu berkata setelah Suboh kembali ke tanah air pada 27 Mei tahun lepas, beliau memohon penginapan selamat di Hotel Pullman, Putrajaya.

“Beliau memohon bantuan SPRM untuk mendapatkan penginapan selamat. SPRM membayar kos penginapan itu,” katanya.

Harvinderjit: SPRM berusaha membawa balik Suboh ke tanah air?

Saksi menjawab “Ya”.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");