Panasnya Hari Ini

Perbicaraan Kes 1MDB Najib Ditangguh Sehingga Isnin Depan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, supaya perbicaraan itu ditangguhkan kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu.

Pihak pendakwaan telah memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Najib.

Pada 18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menangguhkan kes 1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang telah ditetapkan selama 14 hari dari 15 April hingga 3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari 14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 Sept 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan itu dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");