Berita Hari Ini

PERKESO Lancar Ops Patuh Serentak Di Seluruh Negara Hari Ini

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Ops Patuh, mulai hari ini, sebagai langkah penguatkuasaan terhadap pemandu teksi dan e-hailing yang belum mendaftar serta mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John R Marin, berkata sejak skim itu diperkenalkan dua tahun lalu, hanya 35,737 pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing mendaftar bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Beliau berkata, jumlah itu dilihat jauh lebih rendah berbanding keseluruhan 316,000 pemandu direkodkan mendaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kita sudah memberi kelonggaran selama dua tahun untuk mereka mendaftar dan mencarum melalui pelbagai kaedah, termasuk mengadakan 1,800 program libat urus bagi memberi penerangan serta penjelasan berkenaan skim ini.

“Malah, kita juga melaksanakan Operasi Pemutihan sepanjang bulan lalu. Justeru hari ini, kita mula melaksanakan Ops Patuh serentak di seluruh negara sebagai langkah penguatkuasaan ke atas pemandu teksi dan e-hailing yang belum mendaftar dan mencarum bawah Akta 789.

“Bagaimanapun, tujuan kita melaksanakan operasi ini bukan untuk mencari keuntungan, sebaliknya peringatan kepada pemandu yang masih degil,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Ops Patuh SKSPS di Wisma PERKESO, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PERKESO Kuala Lumpur, Salijan Saigon; Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Azhar Md Nadzri; dan Ketua Cawangan Penguatkuasaan Ibu Pejabat PERKESO, Hairiri Harun.

Melalui operasi itu, John berkata, anggota penguat kuasa PERKESO akan menggunakan kaedah penyamaran dengan menjadi pelanggan teksi dan perkhidmatan e-hailing.

Katanya, jika semakan dalam sistem PERKESO mendapati pemandu terbabit belum mendaftar, maka notis peringatan akan diberikan dengan mereka perlu hadir ke pejabat PERKESO dalam tempoh tujuh hari untuk mendaftar dan mencarum.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pemandu berkenaan dikenakan kompaun hingga maksimum RM5,000.

“Mengikut rekod kita, sebanyak 888 kematian dicatat sepanjang tahun lalu. Daripada jumlah itu, 666 atau 75 peratus kematian adalah akibat kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Pemandu teksi dan e-hailing termasuk dalam golongan berisiko. Oleh itu, kita mahu mereka mendaftar dan mencarum untuk perlindungan keselamatan jika berlaku kejadian tidak diingini bukan saja kepada mereka tetapi juga waris,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, skim berkenaan juga dijangka diperluaskan kepada 18 sektor bekerja sendiri yang lain seperti pemilik tunggal, penggiat seni, petani, nelayan dan pengangkutan makanan Grab Food dan Food Panda, namun ia bergantung pada keputusan kerajaan kelak memetik laporan BHarian.

“PERKESO sentiasa berusaha keras merealisasikan hasrat memberi perlindungan kepada semua golongan sama ada pekerja bermajikan mahupun bekerja sendiri melalui skim keselamatan sosial,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");