Perak Hari Ini

PH Masih Belum Dapat Tarik Sokongan Pengundi Melayu Sepenuhnya – Hasnul

IPOH: Pemuda Amanah Perak mengakui bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat menarik sokongan pengundi Melayu dengan sepenuhnya.

Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata kesemua ahli dalam parti masih belum mengerahkan upaya dan usaha semaksimal mungkin dalam memberi keyakinan kepada golongan pengundi tersebut.

Ujarnya, hasil dapatan kajian daripada Ilham Centre dan Penang Institue sebelum ini menyebut bahawa gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas bakal menggugat PH pada Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang.

Katanya lagi kajian turut menyebut bahawa daripada 2,614 responden berbangsa Melayu yang terlibat, 60 peratusnya dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi PH menerajui negara.

Ujar Hasnul beliau tidak menolak kemungkinan sebahagian responden itu terpengaruh dengan dakyah oleh BN-Pas.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata walaupun hasil kajian tersebut bersifat semasa dan boleh berubah namun, perhatian yang serius harus diberikan terhadap perkara tersebut.

Katanya kesemua ahli harus menghindari sindrom penafian seperti mana yang dilakukan BN sebelum ini yang mana akhirnya ia merebahkan parti itu.

“Kita harus menjadikan ini adalah agenda paling penting bagi memastikan tampuk pemerintahan negara dan negeri ini tidak kembali kepada golongan Kleptokrat dan ‘pedagang agama’.

“Untuk itu, satu jawatankuasa haruslah dibentuk dalam kalangan Pemuda untuk menganalisis dalam seberapa segera. Pemuda perlu menghimpun dan menganalisis maklumat tersebut untuk dikongsi dengan pimpinan di atas, bagaimana gerak kerja untuk kita ‘counter’ kembali isu yang dimainkan pembangkang,” katanya.

Selain itu ujar Hasnul, kesemua ahli Pemuda Amanah Negeri juga harus bekerja dengan lebih gigih bagi mengekang gejala ‘Amanahfobia’ dalam segelintir kalangan rakyat akibat daripada dakyah pembangkang.

Katanya selain terus mendekati rakyat, jalan keluar kepada masalah itu adalah menerusi hujah yang bernas dan pada masa sama tidak melabel kembali mana-mana pihak dengan perkataan yang jelik.

“Kita harus tampil dengan sifat dan sikap yang matang. Pemuda perlu memaksimumkan program ke akar umbi, membawa mesej ‘Rahmatan Lil Alamin’, dalam erti kata yang sebenar dan membuka minda mereka dengan sikap yang terpuji,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada Perasmian Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak Kali Ke-3 di Hotel Tower Regency, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Perak merangkap Bendahari Agung Amanah, Asmuni Awi; Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan serta ketua pemuda parti-parti komponen PH Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");