Panasnya Hari Ini

PH Minta Kelantan Diberi Perhatian Di Bawah RMK12

PASIR PUTEH – Pakatan Harapan (PH) Kelantan meminta kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri itu dalam pembentangan bajet di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang sedang dirangka sekarang.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata walaupun Kelantan di bawah pembangkang adalah wajar kerajaan Pusat memberi perhatian yang sama rata dengan negeri-negeri lain.

“Rakyat Kelantan tidak wajar didiskriminasikan (akibat perbezaan politik) malah keperluan mereka mesti dipenuhi,” katanya pada sidang media sempena Retreat Pimpinan PH Negeri Kelantan di Pusat Latihan Kenaf dan Tembakau di sini, pada Ahad, lapor Bernama.

Lebih 100 pemimpin di peringkat kawasan dan negeri menyertai perjumpaan itu yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.

Husam berkata beberapa rancangan akan dikemukakan kepada kerajaan Pusat bagi merangsang ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat walaupun berdepan dengan ekonomi negara yang berkembang secara perlahan akibat masalah kelembapan ekonomi serantau.

Katanya, ini termasuk mencadangkan pemberian lesen secara halal kepada rakyat yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand untuk mengimport barangan keperluan harian seperti beras dan ayam dari negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata langkah itu akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tanpa kekangan dengan undang-undang penyeludupan di samping menjana ekonomi negara.

Katanya, selain itu kerajaan Pusat perlu segera menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa bertaraf antarabangsa untuk membolehkan penerbangan terus dari negara serantau terutama dari China ke Kelantan.

“Langkah itu akan merancakkan industri pelancongan di Kelantan dan secara tidak langsung akan menjana pendapatan rakyat,” katanya.

Husam berkata, di samping itu PH juga menyokong keputusan kerajaan Pusat menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana projek berkenaan dapat menyemarakkan lagi industri itu di Kelantan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");