Berita Hari Ini

Polis Positif Dadah Tidak Wajar Berada Dalam PDRM

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah tidak wajar berada di dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berperanan sebagai sebuah agensi penguatkuasa undang-undang.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP), Senior Asisten Komisioner Polis Sulaiman Yahaya, berkata Op Blue Devil dilaksanakan PDRM untuk ‘membersihkan’ pasukan itu daripada anggota polis terbabit dadah adalah langkah wajar.

Katanya, PPKP dan PDRM sedar akan kewujudan permasalahan itu dan pelbagai usaha serta tindakan sudah dibuat untuk membanteras kegiatan itu.

“Usaha sedemikian perlu dilakukan secara berterusan dan kita amat bersetuju dengan usaha terbaharu yang dibuat PDRM menerusi Op Blue Devil.

“Ini adalah usaha untuk membersihkan PDRM daripada sebarang salah laku dan aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah.

“Dadah adalah punca kepada sebarang perlakuan jenayah dan salah laku,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tidak kira penyalahgunaan dadah di kalangan warga PDRM berada di tahap kritikal atau tidak, perkara itu perlu diambil perhatian berat.

Katanya, PPKP sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) berhubung perkara itu.

“Disamping itu, kita turut melaksanakan program kesedaran termasuk menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh penyelia,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) mahu PDRM mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang terbabit dengan kesalahan dadah termasuk dibuang kerja.

Presiden PPRP, Sub Inspektor Norraji Rojo, berkata persatuan amat kecewa dan memandang serius pembabitan pegawai rendah polis dalam sebarang kegiatan tidak bermoral termasuk penyalahgunaan dadah.

“Kita tidak mahu ada dalam kalangan ahli (PPRP) merosakkan nama PDRM sehingga menyebabkan masyarakat berasa kurang yakin dengan kewibawaan dan integriti pasukan ini,” katanya.

Justeru, katanya persatuan menyokong penuh tindakan tegas yang diambil untuk meningkatkan integriti PDRM termasuk ‘membersihkan’ pasukan itu daripada anggota dan pegawai yang terbabit dengan dadah menerusi Op Blue Devil.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, kelmarin dilaporkan berkata lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi Op Blue Devil yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu.

Sehingga Rabu lalu, seramai 3,438 anggota PDRM menjalani ujian saringan air kencing dan seramai 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam didapati positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua positif ganja dan seorang positif ketamin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");