Berita Hari Ini

Premis Gantung Bendera Terbalik Terima Surat Tunjuk Sebab

KUANTAN: Sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di sini, diarahkan memberi penjelasan mengenai insiden memasang Jalur Gemilang terbalik, yang tular di laman sosial pada minggu lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Isnin lalu yang membawa kepada pengeluaran surat tunjuk sebab kepada pemilik premis berkenaan.

“Tempoh tiga hari yang diberikan MPK akan berakhir esok, tetapi, setakat ini premis terbabit belum memberikan sebarang maklum balas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai pemantauan pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan di daerah ini, hari ini.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai pemasangan dua bendera Malaysia yang dikibarkan secara terbalik sebelum ia disedari pemilik premis yang bertindak menurunkannya.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat kritikan hebat warganet sebelum syarikat itu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf yang dibuat menerusi Facebook (FB) rasmi mereka keesokan harinya.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi pemantauan yang dijalankan hari ini, Abdul Rahim berkata, operasi selama sejam itu bertujuan memastikan setiap premis mengibarkan bendera Malaysia.

“Surat pekeliling dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 September dan hari ini kita hendak melihat berapa banyak premis yang sudah mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Abdul Rahim berkata, tinjauan yang dilakukan hari ini mendapati hanya kira-kira 50 peratus premis sudah memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing, manakala, selebihnya memberikan pelbagai alasan seperti tidak mempunyai masa dan menunggu pemberian bendera percuma.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");