Berita Hari Ini

Projek Baik Pulih Sekolah Daif Di Sarawak Bermula Sejak 5 Ogos

PUTRAJAYA – Proses pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak telah bermula dengan kadar segera sejak 5 Ogos lepas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya dakwaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa Menteri Kewangan menyatakan jawatankuasa projek baik pulih perlu ditubuhkan adalah tidak benar.

Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata penubuhan empat jawatankuasa khas di peringkat kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan dan pemantauan projek itu telah dibuat dan mula dilaksanakan sejak 19 Mac tahun ini (2019).

Menurutnya, kenyataan Abang Johari itu seperti menidakkan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak, dengan mengambil kira permohonan dan keperluan kerajaan Negeri Sarawak.

Semalam, Abang Johari dilaporkan menggesa kerajaan Persekutuan memulakan kerja membaiki sekolah daif di Sarawak memandangkan kerajaan negeri telah membayar RM350 juta hutangnya seperti yang dikehendaki Kementerian Kewangan.

Lim berkata walaupun bayaran balik hutang itu hanya diterima pada 8 Ogos, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat pada 5 Ogos untuk membenarkan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan kerja awalan bagi pelaksanaan projek itu.

Pada 14 Ogos, katanya Kementerian Kewangan sekali lagi mengeluarkan surat kepada KPM memaklumkan bayaran kerajaan Negeri Sarawak telah diterima dan meminta KPM mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama projek itu disegerakan.

“Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pengecualian dalam meluluskan permohonan kerajaan Negeri Sarawak supaya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan supaya diberi keutamaan kepada kontraktor tempatan yang beroperasi di Sarawak.

“Tambahan, pemilihan sekolah daif untuk dibaik pulih mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Lim berkata JKR Sarawak juga telah mengenal pasti tujuh buah sekolah yang dapat diiklankan tender pada hari ini (26 Ogos) manakala baki 30 projek lagi dijangka akan ditender pada penghujung Oktober 2019.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");