Berita Hari Ini

PTPTN Kenal Pasti Cara Bayaran Semula Pinjaman Lebih Baik

PUTRAJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan bekerjasama dengan beberapa agensi bagi mengenalpasti cara pembayaran semula pinjaman yang lebih baik kepada peminjam.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, antara agensi yang akan terlibat adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita perlu lihat peminjam ini dalam kategori mana, tidak boleh pukul rata semuanya dalam satu kategori. Kerana ada peminjam yang patuh bayar, ada peminjam yang baru habis belajar dan ada peminjam yang tegar tak mahu membayar.

“Justeru, ini sasaran kita iaitu kepada yang tidak membayar dan tegar apabila sudah 15 hingga 20 tahun habis belajar tetapi tidak membayar, tak kan tak boleh bayar.

“Oleh itu, pembayaran semula, kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti KWSP dan LHDN untuk memastikan bahawa pembayaran tidak akan membebankan,” katanya pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN sesi kemasukan September 2019 Parlimen Simpang Renggam di sini hari ini, lapor Sinar Online.

Menurut Maszlee, sehingga 31 Julai lalu, PTPTN telah menyalurkan bantuan WPP kepada 902,881 pelajar membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.33 bilion.

“Manakala seramai 20,716 pelajar ditawarkan WPP bagi kemasukan peringkat Ijazah ke Universiti Awam sesi September 3019 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM31 juta,” katanya.

Seramai 16 pelajar daripada 45 pelajar daripada Parlimen Simpang Renggam hadir bagi menerima tawaran WPP tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan hasil Kertas Konsultasi Rakyat PTPTN, Maszlee berkata, ia akan dikemaskini dan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

“Kita akan kemaskini, selepas itu kita akan bawa ke mesyuarat Kabinet nanti.

“Cuma harapan saya seperti disebut di Parlimen baru-baru ini dan setelah berbincang dengan PTPTN, perbadanan itu harus mengubah hala tuju daripada sekadar memberikan pinjaman kepada tabungan.

“Ini yang sedang mereka giat lakukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");