Panasnya Hari Ini

Shafie Akan Ulas Video Tular ‘Bersatu Itu Umno’ Esok

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dijangka mengulas sebuah video tular esok, yang menunjukkan individu mirip dirinya yang menyamakan Bersatu dengan Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pembantu Shafie enggan mengulas video itu dan hanya berkata wartawan tempatan akan bertanya Shafie berhubung perkara itu dalam satu acara esok.

Video yang disiarkan di beberapa blog itu menunjukkan perbincangan seorang lelaki dengan beberapa perempuan – dipercayai penyokong Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor.

Hajiji ialah bekas Pengerusi Umno Sabah sebelum keluar parti hujung tahun lalu.

Dalam video itu, lelaki tersebut bertanya kepada salah seorang perempuan berkenaan sebabnya meyokong Bersatu dan bukan Warisan.

“Ini Bersatu, (seperti) Umno. Kamu (kena) faham politik ini. Jadi kenapa kamu ikut Bersatu?

“Siapa memerintah? Hajiji atau saya yang memerintah?” katanya

Ia selepas perempuan itu mengakui Bersatu mungkin sama seperti Umno tetapi parti itu menarik banyak sokongan kerana kedudukannya sebagai parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Tidak jelas bila video itu dirakam.

Pada Disember 2018, Hajiji bersama-sama 13 Adun, empat anggota parlimen, dua senator dan 21 ketua bahagian mengumumkan keluar Umno.

Kebanyakannya kemudian menyertai Bersatu.

Hajiji: Bersatu adalah Bersatu

Kemasukan Bersatu ke Sabah pada mulanya ditentang Warisan, dengan Shafie sendiri menggesa parti itu berpegang kepada janji yang dibuat sebelum PRU ke-14 untuk tidak mengembangkan sayap ke negeri itu.

Bagaimanapun Shafie kemudian berkata Bersatu tidak boleh dihalang untuk masuk ke negeri itu kerana tiada undang-undang yang melarangnya.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menegaskan langkah itu bukan untuk mencabar kedudukan Warisan tetapi mengukuhkannya.

Mengulas video itu, Hajiji berkata perbandingan antara Bersatu dan Umno itu salah.

“Bersatu adalah Bersatu, Umno adalah Umno. Ia parti berlainan, dengan kepimpinan dan perjuangan yang berlainan. (Tindakan) menyamakan (Bersatu) dengan Umno menunjukkan Shafie tidak faham perjuangan Bersatu…,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, kerjaya politik Shafie sendiri meningkat menerusi Umno yang meletakkannya sebagai naib presiden dan menteri kabinet, selepas disingkir akibat pertembungan dengan bekas presiden Najib Razak pada 2015.

Hajiji berkata beliau akan membincangkan isu berkenaan rakaman itu dengan Shafie jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");