Berita Hari Ini

Siasat Jika Wujud Salah Guna AP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat jika terdapat laporan salah guna Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport produk tepung dan gula, kata Timbalan Menterinya, Chong Chien Jen.

Mengulas laporan BH mengenai AP import produk makanan yang dijual secara meluas dalam talian, beliau berkata, tindakan yang tegas akan diambil terhadap pemegang AP yang dikeluarkan kementerian itu, jika terbukti mereka menyalahgunakan kemudahan itu.

“Buat masa ini kami belum terima apa-apa laporan berkaitan salah guna AP yang dikeluarkan kementerian ini.

“Contohnya AP untuk mengimport gula hanya dikeluarkan kepada pengeluar produk makanan dan minuman (F&B) dan polisi itu baru sahaja dilaksanakan, dan tiada laporan salah guna AP gula setakat ini,” katanya selepas merasmikan National Art Competition 2019 (NAC2019) anjuran Global Art & Creative Sdn Bhd, di sini, pada Ahad, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan BH bahawa AP bagi mengimport pelbagai barang makanan seperti tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat yang dikeluarkan kerajaan, dikesan diiklankan untuk dijual secara meluas oleh penerima kemudahan itu atau ejen mereka, menerusi laman sesawang dan media sosial.

Mengulas lanjut, Chien Jen berkata, Kajian Pasaran Sektor Makanan yang dikeluarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) baru-baru ini mendapati wujudnya salah guna AP untuk mengimport kubis bulat dengan mengambil keuntungan ‘atas angin’ dengan menyewakan permit itu kepada peniaga lain.

“Saya fikir itu yang dinamakan rent-seeking iaitu anda dapat komisen daripada AP itu tetapi akhirnya ia menjadikan harga lebih tinggi kepada pengguna,” katanya.

Chong berkata, MyCC ialah agensi di bawah KPDNHEP juga mencadangkan supaya dasar pemberian AP import itu dan penerimanya dikaji semula.

“Bagaimanapun, sama ada untuk melaksanakan cadangan itu bukan di bawah kementerian saya dan ia adalah di bawah kuasa kementerian lain. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak kementerian lain tetapi secara amnya, MyCC siasat laporan berhubung penyelewengan AP,” katanya.

Mengenai industri francais Malaysia, beliau berkata ia dijangka menyumbang RM35 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, berbanding RM30.3 bilion pada 2018, berdasarkan prestasi positif syarikat francais tahun lalu.

Untuk mencapai matlamat itu, Chong berkata, kementerian itu bekerja rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) untuk membantu francais berkembang dalam dan luar negara.

“Terdapat inisiatif seperti pameran, misi perdagangan, misi dalam pembelian dan sesi latihan untuk mempromosikan jenama tempatan ke negara lain dan pada tarikh 22 Ogos ini, saya akan pergi ke Shanghai dengan agenda yang sama untuk memperkenalkan jenama tempatan kita dan mempromosikannya kepada pelabur berpotensi dari negara lain,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan agensi Malaysia seperti MATRADE, kini terdapat 66 jenama francais Malaysia di 65 negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");