Berita Hari Ini

Slot Dr Zakir Dan Anaknya Dibatalkan

KANGAR: Polis menasihatkan penganjur Program Malaysia Reverts Camp di Perlis yang dijadual berlangsung hari ini hingga Ahad membatalkan slot ceramah penceramah bebas, Dr Zakir Naik dan anaknya, Fariq Naik atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd berkata, saranan itu bertujuan untuk meredakan keadaan semasa yang kini dilihat tegang berikutan kenyataan penceramah bebas itu disalahgunakan oleh pihak tertentu.

“Saya sarankan agar penganjur (One Center Malaysia) tidak meneruskan slot ceramah Dr Zakir kerana keadaan semasa tidak mengizinkan.

“Kita bimbang ia akan menambahkan lagi kekalutan dan sensitiviti antara semua pihak dan dijangka pihak terbabit akan terus-menerus ‘mengusik’ antara satu sama lain.

“Ini membabitkan soal keselamatan dan isu yang mengaitkan beliau (Dr Zakir) ketika ini agak panas selain sudah lebih 150 laporan polis dibuat ke atasnya,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar hari ini.

Terdahulu, Noor Mushar menyaksikan majlis serah terima tugas antara lima ketua jabatan di IPK Perlis bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya.

Lima ketua jabatan terbabit yang memulakan tugas hari ini adalah Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan (Komander AKSEM), Asisten Superintendan Haris Abd Rahim (Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard), Asisten Superintendan Yusliemezam Halim (Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi), Deputi Superintendan Mohd Zaki Hamid (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis) dan Deputi Superintendan Kumaresraja Retnam (Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti).

Mengulas lanjut, Noor Mushar berkata, pihaknya sudah menghubungi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam mengenai cadangan pembatalan ceramah penceramah kontroversi berkenaan.

“Timbalan Ketua Cawangan Khas Perlis sudah menghubungi beliau (Mohd Asri) dan beliau menyambut baik cadangan pihak polis.

“Walaupun dia tidak dibenarkan memberi ceramah, namun Dr Zakir masih boleh memasuki Perlis dan menghadiri program berkenaan.

“Pihak polis juga tidak akan menghalang aktiviti berkenaan daripada ia diteruskan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Program Malaysia Reverts Camp Mohd Zamri Vinot hari ini menerusi satu kenyataan berkata, dia sudah membatalkan slot Dr Zakir dan anaknya itu bagi memastikan keselamatan keluarga pendakwah itu terjamin.

Sebelum ini, dua Menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini lapor HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");