Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas SPRM, Rosli Hussain yang juga pegawai penyiasat SPRM dalam keterangannya berkata, saksi-saksi berkenaan adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Allahyarham Datuk Noriah Ahmad.

Tiga lagi saksi, menurut Rosli, 54, adalah bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Ahmad Norhisham Hassan dan seorang individu bernama Izzad Izzairi Osman.

“Sejak SPRM melancarkan siasatan ke atas SRC International pada tahun 2015, lima daripada senarai saksi telah meninggal dunia,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd. Yusoff dalam perbicaraan hari ke-50 melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International hari ini.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, pasukannya telah memperolehi dan meneliti lebih 1,000 dokumen berhubung siasatan mereka terhadap kes tersebut.

Rosli yang dilantik menjadi pegawai penyiasat kes pada 6 Julai 2015 berkata, semua dokumen berkenaan diperoleh daripada bank dan institusi kewangan serta syarikat.

“Dokumen yang diperolehi itu antaranya daripada KWAP, syarikat SRC sendiri, Ihsan Perdana Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan kementerian berkaitan,” katanya.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung petang ini memetik laporan Utusan Online.