Membawang Hari Ini
Like

Sudah 50,000 Netizen Bantah Tayangan Drama Demi Tuhan Aku Bersaksi

August 3, 2019
430 Views
0 Comments
2 minutes read
Sudah 50,000 Netizen Bantah Tayangan Drama Demi Tuhan Aku Bersaksi

KUALA LUMPUR – Satu petisyen dilancarkan hari ini atas nama “Haramkan Telefilem Sampah Memburukkan Institusi Tahfiz’.

Petisyen itu diwujudkan satu kumpulan yang dinamakan ‘Pembela Agama Allah’ yang kini sudah mencecah 50,000 tandatangan sebagai langkah untuk mengharamkan drama terbitan Prokuya Studios, ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’.

Rata-rata petisyen itu menggesa agar masyarakat menolak drama berkenaan.

“Kami mendesak supaya diharamkan dan ditarik balik telefilem sampah yang bertujuan memburukkan institusi Agama Islam / Tahfiz seluruh Negara.

“Tahfiz Gay…! Apakah itu yang cuba disampaikan oleh drama #demituhanakubersaksi terbitan Prokuya Studios.

“Menurut FB rasmi penerbit ini, drama ini mengisahkan “pengamal LGBT yang belajar di sekolah Tahfiz”!

“Tahun lepas kita baru sahaja diusik dengan imej pengganas berserban dalam Polis Evo yang secara sengaja telah mencalarkan imej berserban dan berjubah sebagai ganas dan teroris. Kali ini, sebuah drama yang akan ditayangkan di RTM pula mengaitkan pusat Tahfiz dengan gejala LGBT,” tulis petisyen berkenaan.

Sejak semalam, viral mengenai drama yang bakal ditayangkan RTM berkisarkan golongan LGBT (lesbian, gay, transgender, biseksual).

Drama itu diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku di tempat pengajian dan watak utamanya dijayakan oleh Syafie Naswip dan Fezrul Khan.

Dalam pada itu, petisyen ini turut menempelak RTM yang membenarkan tayangan drama ini pada September depan.

“Bagaimana RTM boleh meluluskan tema seperti ini? Ini persoalan yang bermain difikiran saya dan netizen lain. Tetapi lebih mengejutkan, menurut penerbit drama ini, tema ini dicadangkan oleh RTM!

“Jika penerbit drama ini bertujuan mengangkat tema LGBT dan memberikan petunjuk kepada golongan ini untuk kembali ke pangkal jalan, kita sokong. Tetapi berapa peratus LGBT ini lahir di Tahfiz? Atau mereka yang masuk ke Tahfiz dalam keadaan sudah terpalit dengan LGBT?,” soal kumpulan berkenaan. -MalaysiaGazette

Komen & Pendapat

Comments are closed.