Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Pelancaran Buku Tentang Adat Istiadat Kesultanan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Titles and Ceremonial Traditions of The Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia’ di Hotel Syeun, dekat sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan Baginda juga diringi Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Abu Seman serta Exco Kerajaan Negeri.

Buku setebal sekitar 960 muka surat yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, keluaran Perak Academy itu ditulis Dr Adib Vincent Tung Abdullah.

Beliau yang ketika ditemui pemberita berkata bukunya diselitkan dengan pelbagai maklumat seperti sejarah Perak, salahsilah Kesultanan Perak serta adat istiadat Diraja Raja yang merangkumi sehingga ke adat Pertabalan dan Kemangkatan.

“Apabila saya melihat sendiri peristiwa kemangkatan Almarhum Sultan Idris Shah dan Almarhum Sultan Azlan Shah, serta perjalanan adat pemakaman kedua-dua Almarhun Baginda, ia membuatkan saya jatuh cinta dengan adat istiadat kesultanan dan adat istiadat Melayu ini.

“Saya menyaksikan sendiri adat istiadat kemangkatan, pemakaman sehingga ke pertabalan seorang Sultan yang baharu. Saya terdedah dengan adat istiadat kesultanan ini sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Apabila saya menyaksikannya, saya mendokumentasikannya. Malah saya mendapat perkenan daripada Sultan Nazrin untuk menerbitkan sebuah buku dalam Bahasa Inggeris,” katanya yang juga ahli konsultan di sebuah syarikat korporat.

Ujar Adib Vincent, proses dalam menterjemahkan beberapa terma dalam adat istiadat Kesultanan Perak daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris menjadikan satu cabaran untuk beliau menyiapkan buku tersebut dalam tempoh hampir 20 tahun.

Katanya lagi, dalam tempoh itu juga beliau turut melakukan pelbagai kajian dan rujukan daripada pelbagai sumber seperti sumber bahan bacaan rasmi, muzim, Orang Besar Jajahan, Orang Besar-besar dan sebagainya sebelum ia dipersembahkan kepada Sultan Nazrin untuk diperkenankan Baginda.

“Saya berharap apabila pembaca, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu selepas membacanya, mereka akan lebih berbangga dengan adat istiadat kesultanan ini,” katanya yang berasal daripada Ipoh.

Buku 500 salinan dengan harga RM399 setiap satu itu boleh didapati di cawangan Perak Academy atau secara peribadi daripada Adib Vincent.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");