Berita Hari Ini
Like

Suspek Cubaan Samun, Curi Motosikal Ditahan Polis

August 11, 2019
187 Views
0 Comments
1 minute read
Suspek Cubaan Samun, Curi Motosikal Ditahan Polis

DAMANSARA – Seorang daripada dua suspek yang cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan dalam kejadian petang Jumaat lalu diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sebuah rumah di Jalan Kuang Bertam 9, Taman Kepong, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.45 pagi.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau itu adalah pemilik kepada telefon yang tercicir di lokasi ketika kejadian berlaku.

“Polis merampas kunci dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125, topi keledar dan alat pengunci motosikal.

“Hasil soal siasat, suspek ditahan mengaku terlibat dalam kes jenayah itu bersama seorang lagi rakan (suspek yang masih bebas) yang dikenalinya ketika menerima hukuman di penjara Kajang sembilan tahun lalu,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu media melaporkan malang bagi dua penjenayah apabila telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka terjatuh ketika cuba menyamun dan melarikan motosikal milik seorang penghantar makanan di Phileo Damansara petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 2.53 petang itu, mangsa berusia 22 tahun cedera akibat bergelut untuk menyelamatkan motosikalnya daripada dilarikan suspek.

Kejadian berlaku ketika mangsa berada di depan bangunan Phileo Damansara 2 sebelum didatang dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z menghampiri penghantar makanan itu mendakwa motosikal milik mangsa adalah kenderaan curi dan ingin mengambilnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.