Berita Hari Ini

Terjunan Tanda Cinta Malaysia

PUTRAJAYA: Melakukan terjunan dari bangunan paling tinggi di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya bukanlah mudah kerana risiko kecederaan tinggi sekiranya berlaku kecuaian.

Bagaimanapun, misi itu berjaya disempurnakan tujuh penerjun daripada Persatuan Base Jump Malaysia, khusus untuk program Terjunan Kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62.

Ketua Terjunan Kibaran Jalur Gemilang, Adi Khirman Marji, 37, berkata, terjunan dari tingkat 40 bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu diadakan bagi menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara.

Katanya, pada mulanya terjunan itu untuk latihan sempena penganjuran Hari KPWKM yang akan diadakan pada November nanti memetik HMetro.

“Namun kita ambil kesempatan bersempena 62 tahun kemerdekaan negara untuk menunjukkan rasa cinta dengan melakukan Terjunan Kibaran Gemilang.

“Kami berkongsi rasa patriotik ini dengan mengibarkan tiga Jalur Gemilang semasa terjunan dilakukan dan saya yakin ini satu-satunya acara terjunan pernah dilakukan penerjun ‘base jump’ sempena kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat terjunan itu.

Selain Adi Khirman, enam penerjun lain ialah Aziz Ahmad, 63, Ahmad Zaharuddin Zainuddin, 55, Azuan Taharudin, 48, Mohd Akmal Jamal, 34, Mohd Nor Feirkhan Razali, 41 dan Peter Johnny, 47.

Ketika terjunan dilakukan, Adi Khirman yang menjadi peserta kedua membawa bendera turut melaungkan ‘Sayangi Malaysiaku’, diikuti oleh penerjun lain.

Ditanya sama ada mereka berhadapan masalah, katanya, ketika latihan sebelum ini terjunan dilakukan di bahagian kanan bangunan namun, mereka beralih ke kiri bangunan semasa terjunan sebenar.

“Jadi ada sedikit kesukaran terutama kepada peserta yang lebih selesa terjun di bahagian kanan. Jadi terpaksa membuat perbincangan dan pengaturan semula.

“Ia juga supaya semua penerjun selamat dan membuat terjunan kemas serta tidak berterabur. Alhamdulillah apa dirancang menjadi dan terjunan berjaya dilakukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");