Perak Hari Ini

Terminal Medan Gopeng Tidak Dibuka Untuk Aktiviti Bas Ekspres

paul yong

IPOH – Dakwaan menyatakan Terminal Medan Gopeng di sini telah dibuka semula untuk mengambil dan menurunkan penumpang bas ekspres adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Paul Yong Choo Kiong berkata urusan pengambilan dan penurunan penumpang bas tetap dilakukan di Terminal Meru Raya yang sebelum ini dikenali sebagai Terminal Amanjaya.

Katanya bangunan yang didakwa sebagai terminal bas di Medan Gopeng adalah bangunan Silveritage Medan Gopeng dan tidak diwartakan sebagai terminal bas ekspres.

“Ejen jualan tiket bas ekspres hanya dibenarkan oleh pemilik bangunan tersebut untuk menjual tiket bas sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong berkata adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 22(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya mana-mana pengendali berlesen bas ekspres gagal mematuhi arahan pengoperasian di terminal berkenaan.

Menurutnya mana-mana pihak boleh dijatuhi hukuman jika didapati bersalah yang mana boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kenyataan ini secara jelas perlu dimaklumkan kepada semua pengendali, pengguna dan ejen tiket bas ekspres supaya tidak timbul kekeliruan dan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");