Membawang Hari Ini

Usah Sibuk Hitung Dosa Orang Lain – Erwin Dawson

KUALA LUMPUR: Pelakon Erwin Dawson, membidas segelintir warganet yang menggunakan agama sebagai benteng mempertahankan tindakan mereka mengecam perbuatan orang lain, terutama selebriti.

Erwin atau nama penuhnya Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 30, berkata mereka perlu menyedari tindakan menegur sehingga mengaibkan orang lain juga salah dan dilarang agama.

“Jika benar mereka mahu menegakkan agama, jaga lidah dan bahasa. Boleh tegur, tetapi perlu ada caranya dan bukan sehingga mengaibkan orang lain.

“Saya sedih apabila mereka lebih risau dan susah hati memikirkan dosa orang lain, sedangkan diri sendiri juga tidak terlepas daripada melakukan dosa,” katanya.

Erwin berkata, biarpun dikecam, dia tidak pernah tunduk dengan tekanan, malah akan terus mendidik masyarakat supaya memanfaatkan media sosial ke arah kebaikan.

Calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata, sebagai artis, dia bertanggungjawab berbuat demikian kerana masyarakat sentiasa mengikuti perkembangan dirinya.

“Selebriti mempunyai pengaruh dan pengikut yang tersendiri, tetapi apa tanggungjawab kita terhadap mereka? Cukupkah hanya dengan mempamerkan keseronokan kita menjalani kehidupan harian?

“Selain peminat dewasa, laman sosial artis juga diikuti pengikut kanak-kanak. Saya bertanggungjawab mendidik mereka, terutama dalam perkara positif dan membawa manfaat.

“Saya mahu mereka berfikir, apakah tindakan yang mereka lakukan itu berfaedah atau sebaliknya. Adakah mereka sedar komen yang ditulis itu menjadi madu atau racun kepada orang lain? Perkara itu perlu mereka fikirkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas pencalonannya dalam ABPBH 32, Erwin bersyukur, mempunyai kelompok peminat yang sentiasa menyokong dan mahu melihat dia terus melakar pencapaian.

Dia bagaimanapun, menyerahkan kepada peminat untuk menentukan sama ada dia layak membolosi Top 5 atau sebaliknya lapor BHarian.

“Saya terharu dengan kesungguhan peminat menyokong karier, namun saya tidak pernah memaksa mereka untuk mengundi. Menang atau kalah, saya terima dengan hati terbuka.

“Sudah ada peminat yang menyokong tanpa henti sudah saya sebagai penghargaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");