Berita Hari Ini

Wendy Loong Mungkin Akaun Palsu

GEORGETOWN: Polis tidak menolak kemungkinan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Wendy Loong dan memuat naik hantaran laman sosial menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan akaun palsu.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata siasatan untuk memburu individu itu akan mengambil masa susulan ia dilakukan di alam maya, selain memerlukan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita sedang melakukan siasatan lagi. Oleh kerana ia berlaku di alam maya, ia mungkin ambil masa untuk lihat dari sudut fizikal.

“Ada kemungkinan besar juga dalang menggunakan akaun Facebook palsu, sebab itu siasatan agak mengambil masa. Ia berlaku di negeri mana, kita masih belum tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) Universiti Awam (UA) Ke-15 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail, dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik.

Media sebelum ini melaporkan hantaran seorang individu menggunakan nama Wendy Loong di dalam media sosial Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ yang menghina Nabi Muhamad.

Minggu lalu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, sebanyak 483 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad yang dibuat oleh pemilik akaun Wendy Loong.

Sementara itu, Mazlan berkata, Kor Suksis di semua UA akan menggunakan silibus baharu pada penggal hadapan, selaras dengan penguatkuasaan beberapa undang-undang baharu negara.

“Sebelum ini ada subjek mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi selepas ia dimansuhkan, ia akan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disamping Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“Pelajar akan diberikan pendedahan dengan undang-undang baharu itu, dan ini adalah pendekatan kita melalui silibus baharu berkenaan,” katanya.

Seramai 1,167 pelatih Kor Suksis daripada 20 UA diraikan, dengan 60 peratus pelatih adalah terdiri daripada pelajar siswi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");