Berita Hari Ini

1 Nov Pendengaran Lucut Hak Wang RM100,000 Bekas Menteri Umno

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 Nov depan bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang RM100,000 disita daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran kes berkenaan namun kes itu telah dilapangkan berikutan terdapat perbicaraan kes lain.

“Mahkamah telah memberi tarikh lain untuk pendengaran kes Kasitah iaitu pada 1 Nov di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 9 pagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas prosiding di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad hari ini.

Sementara itu, peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah berkata beliau baharu sahaja dilantik oleh Kasitah dan pihaknya perlu memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 27 Sept manakala pihak pendakwaan pula memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 13 Sept.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");