Berita Hari Ini

13 Penunggang Basikal Lajak Ditahan

KUALA LUMPUR – Gara-gara menunggang secara berbahaya, 13 penunggang basikal lajak ditahan di sebuah kawasan perumahan di Saujana Impian di Kajang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kesemua ditahan itu berusia antara sembilan dan 15 tahun.

Beliau berkata mereka yang masih bersekolah itu ditahan selepas aksi tunggangan berbahaya itu dikesan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang semasa menjalankan Op Basikal Lajak.

“Dalam kejadian lebih kurang 6 petang itu, kita menahan penunggang bersama-sama basikal mereka selepas disyaki menunggang secara berkumpulan di Jalan Impian Makmur menuruni bukit sehingga ke sebuah sekolah di Saujana Impian.

“Kebanyakan basikal dinaiki tidak mempunyai spesifikasi sebuah basikal yang selamat untuk ditunggang dan telah diubah suai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata kesemua penunggang basikal lajak yang ditahan itu dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kesemua basikal disita manakala penunggang basikal dikenakan tindakan saman.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah memanggil kesemua ibu bapa dan diberi penerangan tentang bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

“Justeru, kesemua ibu bapa bersetuju untuk tidak mengambil semula basikal yang dirampas dan menyerahkan kepada cawangan trafik untuk tindakan lanjut,” katanya, sambil menambah, tiada kemalangan dan kecederaan ke atas penunggang basikal yang ditahan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");