Perak Hari Ini

16 September Detik Istimewa 17 Raja Sehari

IPOH: Selain Sambutan Hari Malaysia, tarikh 16 September kali ini menjadi detik sejarah buat 17 pasangan yang selamat diijabkabulkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Program yang memasuki siri ketujuh pada tahun ini itu disertai pasangan yang berumur antara 20 sehingga 62 tahun.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata jumlah penglibatan pasangan yang berkurangan berbanding pada tahun sebelum ini adalah kerana program yang sama turut dianjurkan pelbagai pihak termasuk pihak agensi swasta dan Masjid Negeri.

“Pada tahun ini sudah beberapa kali diadakan Majlis Nikah Jama’ie Syarie ini. Antara yang turut mengadakan ialah pihak Masjid Negeri, pihak swasta dan lain-lain.

“Jumlah keseluruhan ialah hampir 49 pasangan telah bernikah dengan cara ini, pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Katanya antara kelebihan menyertai program tersebut ialah dapat menjimatkan perbelanjaan raja sehari supaya wang yang berlebihan dapat digunakan pada masa hadapan.

Tambahnya lagi, setiap pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 yang merangkumi kos majlis keraian, makanan, pakaian, penginapan di hotel serta dokumen pernikahan.

Bagi pasangan adik beradik, Norliya Amir, 31, serta adiknya Ghazali Amir, 24, mereka berasa teruja apabila dapat melangsungkan pernikahan secara serentak.

Norliya berkata pada awalnya telah merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini namun selepas mengetahui tentang Majlis Nikah Jama’ie Syarie, beliau memutuskan untuk menyertainya bersama adiknya.

“Pakej yang ditawarkan sangat menarik dan dapat menjimatkan perbelanjaan kami. Ia sangat membantu golongan remaja yang ada niat untuk berkahwin kerana semua telah tersedia pada pakej ini,” katanya.

Sementara itu, Muajam Saion, 62 dan isterinya Siti Habsah Mohd Isa, 57 berasa teruja apabila dapat berkahwin secara beramai-ramai.

Ujar Muajam, perkahwinan tersebut adalah sebagai memenuhi pesanan arwah isterinya yang telah meninggal dunia pada tahun 2016.

“Arwah isteri saya memang sudah mengenali Siti Habsah dan ada pesan kepada saya untuk menjadikan Siti Habsah sebagai isteri sekiranya dia meninggal dunia,” katanya.

Bagi Siti Habsah dirinya berasakan perkahwinannya itu sebagai satu anugerah daripada Tuhan apabila mengakui pada awalnya tidak mempunyai perancangan untuk berumah tangga pada usianya kini.

Pada Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri itu, ia turut diadakan sesi cabutan bertuah hadiah berupa pakej menunaikan haji bernilai RM12,000 kepada satu pasangan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi menyampaikan hadiah tersebut kepada pasangan raja sehari Mohamad Izzat Mohamad Jasni, 22 dan Puteri Marshiela Saiful Rizal, 22

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");