Perak Hari Ini

60 Usahawan Perak Terima Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan

IPOH: Sehingga kini seramai 60 orang usahawan di Perak telah menerima pinjaman pembiayaan menerusi Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan oleh Yayasan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata daripada angka tersebut kesemua mereka telah menerima dana pinjaman yang keseluruhannya berjumlah sekitar RM730,000.

Katanya lagi, sehingga kini Yayasan Perak telah menerima 189 permohonan dan daripada jumlah tersebut 80 daripadanya sedang diproses.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Perak berkata permohonan terhadap pinjaman tanpa faedah itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Jelasnya walaupun pihaknya sentiasa menerima permohonan baharu pada setiap hari namun kerja-kerja untuk melakukan proses terhadap kesemua permohonan itu dijalankan sebanyak dua kali pada setiap bulan.

Pada masa sama, Asmuni juga mengakui bahawa terdapat kelewatan bagi mengagihkan peruntukan RM5 juta terhadap program tersebut sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri Perak tahun ini.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata Tabung Usahawan sebelum ini telah diuruskan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Katanya selepas pengambilalihan pentadbiran baharu, Kerajaan Perak memutuskan agar inisiatif tersebut diserahkan kepada Yayasan Perak untuk diuruskan.

“Oleh kerana YBUDR itu adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan, maka kita fikirkan elok ia dikendalikan oleh kerajaan.

“Dahulu tabung ini disalurkan melalui YBUDR dan kini kerajaan putuskan agar ia diuruskan oleh agensi kerajaan, iaitu Yayasan Perak,” kata beliau.
Tambahnya lagi keputusan perpindahan pengurusan itu juga menjadi punca kepada kelewatan tersebut.

“Apabila kita ambil alih dan buat keputusan demikian, kita terpaksa mengambil staf baharu dan mereka ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Ketika itu, borang pun tidak ada. Kita mula daripada sifar. Hendak memulakan semula, ia memerlukan masa. Sebab itu berlaku kelewatan. Namun kini kita sedang bergerak laju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Yayasan Perak di Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Bandar Meru Raya, dekat sini, hari ini.

Pada acara tersebut, seramai 43 usahawan daripada pelbagai bidang telah menerima cek pinjaman masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM652,000.

Mereka terdiri daripada usahawan yang meliputi pelbagai bidang seperti perniagaan runcit, gerai makanan, perniagaan kedai alatan perkakasan dan perusahaan ternakan ikan.

Difahamkan ia merupakan penyerahan fasa kedua dan ketiga yang mana fasa pertama telah disempurnakan pada 20 Jun lalu yang melibatkan seramai 17 orang usahawan dengan jumlah keseluruhan pembiayaan pinjaman sebanyak RM78,5000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");