Perak Hari Ini

Agrofest Negeri Perak 2019 Sasar 500,000 Kunjungan

IPOH: Kerajaan Negeri bakal menganjurkan Agrofest Negeri Perak 2019 selama empat hari bermula 29 September ini di Perkarangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Gopeng atau yang dahulu dikenali sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamshari berkata acara yang berlangsung mulai jam 10 pagi sehingga 10 malam itu menyasarkan 500,000 kunjungan orang ramai.

Katanya program yang bertemakan ‘Kelestarian Makanan Jaminan Masa Depan’ itu akan disertai lebih kurang 130 orang peserta yang terdiri daripada usahawan dan wakil agensi kerajaan.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri menyasarkan hasil jualan melebihi daripada penganjuran pada tahun 2017 iaitu mencecah RM5 juta.

Mengulas lanjut tentang Agrofest Negeri Perak, Yunus berkata kali ini ia akan diadakan beberapa program pameran dan jualan yang meliputi produk industri asas tani, jualan terus dari ladang, florikultur, dan ‘food truck’ atau kenderaan saji.

Selain itu katanya lagi ia juga bakal diisi dengan beberapa aktiviti lain seperti seminar, beberapa pertandingan dan demonstrasi, permainan serta persembahan pentas.

“Pengisian acara kali ini mempunyai tujuh kluster iaitu laman pertanian, laman penternakan, laman perikanan, laman teknologi dan inovasi, laman kraftangan, laman ‘agrotourism’ dan lain-lain pameran daripada agensi kerajaan.

“Selain daripada itu, kita juga akan mengadakan acara ‘empayar makanan’ yang mana kita akan menghimpunkan makanan-makanan tempatan yang popular di seluruh Perak.

“Sebelum ini kita pernah mengadakan ia semasa penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang pada tahun lalu,” katanya dalam sidang media berkenaan penganjuran Agrofest Negeri Perak 2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pada program tersebut, kerajaan negeri akan menganjurkan acara penyampaian anugerah kepada para pengusaha dalam bidang pertanian di Perak pada 28 September itu nanti.

Katanya sebanyak 13 anugerah yang akan disampaikan antaranya peladang jaya, peladang nita jaya, nelayan jaya, usahawan ikan jaya, kumpulan tani komersial jaya, anugerah pemasar tani jaya dan sebagainya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");