Berita Hari Ini

Ainul Gembira Balik Rumah

“WALAUPUN pada awalnya dia agak pelik, pandang kiri dan kanan, tetapi tidak lama selepas itu Ainul dapat merasai suasana di dalam rumah.

“Dia bagaikan mengerti apabila dapat duduk di katilnya sendiri dengan reaksi tersenyum-senyum” kata ibu kepada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Nurul Erwani Zaidi, 24, menceritakan gelagat anaknya sebaik tiba di kediaman mereka di Rumah Awam Ayer Molek, Melaka, semalam, lapor Harian Metro.

Ainul Mardhiah, 13 bulan, yang sebelum menghidap kanser Germ Cell Tumor terbang ke London pada 25 Mei lalu dan berada di sana selama dua bulan bagi menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang apabila menunjukkan perubahan positif.

Sebaik tiba di tanah air pada 28 Julai lalu, Ainul ditempatkan terlebih dahulu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemantauan.

Nurul Erwani berkata, dia dan suami Ahmad Safiuddin Razak, 24, amat bersyukur dan gembira apabila mereka sekeluarga selamat pulang ke rumah sendiri selepas beberapa kali menempuh detik mencemaskan sepanjang anaknya itu menerima rawatan.

Katanya, sebelum dibenarkan pulang ke rumah semalam, Ainul terlebih dahulu dipantau di Hospital Melaka untuk tempoh satu malam.

“Alhamdulillah, semalam dia tidur lena dan hari ini aktif bermain.

“Akhirnya kami dapat balik rumah, empat bulan di hospital pelbagai detik dan situasi dilalui. Semestinya saat ini dinantikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, walaupun sudah dibenarkan pulang, anaknya itu perlu membuat beberapa rawatan susulan setiap bulan bagi memantau tahap kesihatannya selain menjalani fisioterapi.

Katanya, walaupun pembesaran dan pergerakan anaknya tidak seperti bayi seusia lain, banyak perubahan ditunjukkan Ainul yang semakin hari kian aktif.

“Kalau boleh kami tidak mahu paksa sangat biarlah dia buat apa yang boleh seperti sekarang.

“Sekarang ini dia sudah pandai pusing badannya sendiri, kenal mainan dan menunjukkan reaksi apabila kita mengambil mainan dipegangnya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin berkata, walaupun tahap kesihatan dan perkembangan anaknya itu menunjukkan perubahan positif, Ainul perlu memakai alat sokongan pernafasan.

Menurutnya, atas nasihat doktor Ainul perlu dikuarantinkan di rumah kecuali untuk ke hospital memandangkan sistem imunisasinya tidak kuat selain mudah terkena jangkitan.

“Kami tidak menghalang jika ada yang ingin datang menjenguk Ainul, sebaliknya saya amat berharap agar tidak memegangnya.

“Setiap kali mahu menyentuhnya, kami agak bimbang kerana risau Ainul akan dijangkiti kuman,” katanya yang menyimpan hasrat untuk membawa Ainul menunaikan umrah sebaik anaknya itu sembuh sepenuhnya kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");