Sukan Hari Ini

Akram Ketepi Kritikan, Fokus Aksi Berdepan Indonesia

JAKARTA: Kritikan demi kritikan tidak langsung mematahkan semangat pemain tengah negara, Muhammad Akram Mahinan menjelang aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, Khamis ini.

Meskipun kata-kata negatif tersebut datang dari penyokong tanah air sendiri, tonggak PKNS FC berusia 26 tahun itu tetap bermotivasi tinggi dan komited, untuk membantu pasukan meraih tiga mata di Stadium Gelora Bung Karno, jika diturunkan.

Menurut Muhammad Akram, beliau hanya akan cuba memenuhi tuntutan taktikal permainan, oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan tidak mengambil kisah mengenai kritikan, setiap kali turun beraksi menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Gangguan (kritikan) dari luar itu semua saya sudah biasa hadapi…saya cuma kena fokus permainan saya dan perlu berusaha untuk sumbang sesuatu buat pasukan. Saya sentiasa bersedia dan bila-bila masa jika terpilih, saya akan bagi sehabis baik.

“Paling penting saya cuma fikirkan tiga mata untuk bawa balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Lapangan Sepak Bola A, Gelora Bung Karno di sini, pada Selasa.

Jika diturunkan pada perlawanan Khamis ini, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menikmati pertembungan penuh tradisi dan bersejarah, antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, tekanan itu sentiasa wujud, namun beliau dan rakan sepasukan mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi perasaan itu.

“Kami sudah sedia dari segi fizikal dan mental untuk berdepan Indonesia. Gementar itu memang ada saya tak nafikan.

“Tetapi kami cuba alihkan perasaan gementar itu kepada keterujaan, sebab kami mahu raih keputusan positif di sini,” tambah beliau.

Skuad negara tumpas 0-3 dalam aksi persahabatan dan pertemuan terakhir Harimau Malaya menentang skuad Garuda di Stadium Manahan Solo, Indonesia pada September 2016 lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");