Perak Hari Ini

Anggap Teguran Tun M Dari Ayah Kepada Anak

IPOH- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima baik teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed mengenai bangsa Melayu yang merasakan diri mereka sebagai ‘tuan’ di negara ini.

Katanya, kenyataan dari Tun M adalah untuk menzahirkan kebimbangan beliau terhadap bangsanya yang harini cuma hanya bercakap tentang perpaduan ummah, ketuanan Melayu, semangat agama atau bangsanya tanpa berbuat sesuatu perkara yang positif untuk memajukan diri.

“Saya melihat banyak di kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu yang apabila secara tiba-tiba tiada kuasa, maka secara tiba-tiba juga semangat kemelayuan dalam diri mereka menjadi terlalu kuat.

“Kemudian mereka bercakap tentang hidup Melayu dan ketuanan Melayu tetapi Melayu yang mereka berdepan kini adalah Melayu yang tidak mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain walaupun di negara mereka sekalipun,” katanya ketika ditemui pemberita semasa merasmikan Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Piala Ahli Parlimen Tambun anjuran MPKK Tanjung Rambutan di Padang SMK Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Faizal, kebimbangan seorang pemimpin terulung negara dizahirkan apabila beliau mengimbas kembali dan melihat sejarah bagaimana kaum ini ditindas malah dibangsatkan oleh penjajah tetapi berjaya bangkit pada akhirnya tetapi kini beliau melihat bangsa ini kurang mampu untuk terus ke depan.

“Ini yang beliau maksudkan,” katanya

Tambah Ahmad Faizal, beliau menerima baik teguran yang disebutkan oleh seorang ‘ayah’ kepada seorang ‘anak’ ataupun pesanan seorang pemimpin iaitu pesanan dari seorang PM kepada rakyatnya yang mana perlu diterima secara positif.

“Sebagai seorang ayah saya faham jikalau dahulu saya sebagai anak jikalau bapa kita menegur, kadang-kadang kita tidak berasa seronok walaupun kita tahu itu perkara tersebut ada perkara yang baik.

“Namun hari ini sebagai seorang bapa, kita akan faham mengapa bapa kita bercakap sebegitu kerana kita juga akan bercakap dengan anak kita perkara yang sama.

“Kepada rakyat Malaysia iaitu orang Melayu, saya harap teguran-teguran sebegini jika diambil dari sudut positif ia tentu akan mendatangkan kebaikan, tetapi jikalau apa jua perkara yang diterima secara negatif, tetap akan menjadi negatif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur mana-mana individu sebagai manusia yang sombong jika mereka menerima teguran tersebut dari sudut negatif sahaja.

“Apabila Tun M bercakap mengenai sesuatu perkara tetapi dalam apa konteks malahan kepada siapa jua tidak kira sama ada Melayu, Cina ataupun India, tegasnya beliau hanya menginginkan sesuatu perubahan yang positif terhadap dirinya.

“Sudah tentu beliau ingin berubah atau berhijrah dari sesuatu tempat yang lebih baik maka kita perlu berusaha dengan lebih baik sama juga seperti satu analogi dimana seseorang itu asyik membaca azan sahaja tetapi tidak pernah solat, jadi dia tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");