Berita Hari Ini

Apa Sebenarnya Yang Didemonstrasikan Mahasiswa Indonesia?

JAKARTA – Sejak dua minggu lalu, beberapa siri demonstrasi berskala kecil diadakan di Jakarta, sebelum berlakunya demonstrasi besar-besaran yang mencetuskan rusuhan sejak dua hari lepas.

Menurut Bernama, penunjuk perasaan membantah pindaan Rang Undang-Undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP.

Pada Selasa (24 September), ribuan mahasiswa mengadakan demonstrasi di kawasan berdekatan Parlimen Indonesia atau Dewan Perwakilan Rakyat yang terletak di Jalan Gatot Subroto, antara jalan utama di kota Jakarta, mengakibatkan kesesakan teruk di kota metropolitan itu.

Semalam (Rabu), ribuan pelajar sekolah turut mengadakan demonstrasi dan kedua-dua bantahan pada (Selasa dan Rabu) itu, mendorong tercetusnya rusuhan apabila penunjuk perasaan melempar batu kepada anggota pasukan pengaman, merosakkan harta awam, membakar pondok polis dan pondok tol.

Ketua Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Gatot Eddy Pramono berkata setakat semalam, hampir seratus orang telah ditahan dan majoritinya golongan remaja.

Ribuan pelajar yang didominasi mahasiswa pada awalnya mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebelum bertukar ganas selepas polis mengarahkan mereka bersurai.

 

Apa yang didemonstrasikan

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly, dalam kenyataannya kepada media, melahirkan rasa malu dengan kejadian itu.

Beliau mendakwa demonstrasi itu ditunggangi pihak tertentu demi tujuan politik dan menegaskan golongan mahasiswa seharusnya “membaca keseluruhan pindaan undang-undang dan berdebat” atau mengajukan bantahan ke Mahkamah Konstitusi dan bukannya “mahkamah jalanan”.

Pemerhati politik pula melihat demonstrasi pelajar sekolah pada semalam itu turut didalangi pihak tertentu.

Pada awalnya kelompok mahasiswa mengadakan bantahan secara aman sebelum beberapa kumpulan tertentu “menyusup” masuk dan cuba menimbulkan ketegangan.

“Mereka tidak tahu apa-apa, hanya turut serta, tidak tahu dengan jelas RUU KUHP, dan seperti “bergembira” untuk merusuh,” katanya.

Rancangan pindaan undang-undang itu menjadi polemik sejak dua minggu lepas, andai diluluskan kelak ia didakwa akan mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, selain beberapa pindaan yang didakwa sebagai “mengarut”.

Antara pindaan itu, adalah

(i). Hukum Adat: Mereka yang melanggar hukum adat akan dikenakan tindakan penjara(ii). Kebebasan Pers (Media): Mereka yang didapati menyerang kehormatan (melakukan penghinaan atau cacian) terhadap Presiden atau Naib Presiden Indonesia akan dikenakan hukuman penjara, maksimum tiga tahun
(iii) Pengguguran bayi (Abortion): Mereka terbabit akan dikenakan hukuman penjara
(iv) Penzinaan: Mereka yang melakukan persetubuhan haram (tanpa berkahwin) akan dikenakan hukuman penjara setahun atau denda
(v). Pemeliharan haiwan: Mereka yang memelihara haiwan sehingga membahayakan orang lain dan tanpa pengawasan akan dikenakan hukuman penjara enam bulan
(vi). Gelandangan:Mereka terbabit akan dikenakan hukuman Rp1 juta
(vii) Rasuah: Pelaku rasuah yang didapati bersalah dikenakan hukuman dua tahun penjara (lebih rendah berbanding hukuman lama iaitu enam tahun).
(viii) LGBT: Kesalahan-kesalahan berkaitan seks sesama jenis dan pencabulan berkaitan dikenakan penjara maksimum sembilan tahun.

 

Pada Jumaat lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan penangguhan pengundian parlimen terhadap undang-undang itu, dan pemerhati politik melihat golongan mahasiswa sebenarnya tidak perlu mengadakan demonstrasi kerana pindaan itu akan diteliti lebih mendalam lagi oleh DPR.

Yasonna Laoly menjelaskan polemik berterusan pindaan undang-undang itu berlaku kerana terdapat pihak tertentu menularkan hal-hal yang tidak benar di media sosial, dengan hanya melihat “kulit” dan bukan “isinya”.

Beliau berkata, isu pengguguran bayi misalnya, ia tidak termaktub kepada wanita yang mengandung kerana dirogol untuk menggugurkan kandungan atau wanita yang perlu berbuat demikian atas nasihat doktor.

Begitu juga berkaitan penghinaan kepada presiden Indonesia,: “Penghinaan atau cacian itu juga bukan hanya kepada presiden, tetapi kepada semua, penghinaan berbeza dengan kritikan, isunya ialah kononnya dengan pindaan itu, tidak lagi boleh mengkritik presiden,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");