Berita Hari Ini

AS Larang Produk E-Rokok Berperisa

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam, mengumumkan rancangan untuk melarang penjualan produk e-rokok berperisa dan ia bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Menurut laporan BH Online, langkah itu diambil bagi membendung peningkatan penggunaannya dalam kalangan remaja, susulan peningkatan kes kematian yang dikaitkan dengan e-rokok.

Tindakan itu bakal diperluas kepada larangan sepenuhnya terhadap e-rokok, sekiranya remaja didapati beralih menggunakan tembakau, yang sebelum ini dilihat sebagai kaedah bagi perokok menghentikan tabiat berkenaan.

Trump berkata, sebagai ibu bapa, beliau dan wanita pertama, Melania Trump, bimbang susulan peningkatan kes penyakit paru-paru dalam kalangan remaja, yang sudah mengorbankan enam mangsa dan menyebabkan ratusan lagi jatuh sakit.

“Kami berdua menyedari perkara ini. Ramai orang sudah mengetahui hal ini, dan sudah ada yang mati akibat vape,” katanya dalam satu sidang media di Rumah Putih.

Yang turut hadir, pemangku ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Ned Sharpless yang menguatkuasa peraturan e-rokok dan Setiausaha Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan, Alex Azar.

Mengulas perkara itu, Azar berkata, pihaknya akan mengeluarkan peraturan mengenai larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Buat masa ini, semua e-rokok berperisa selain perisa tembakau akan dikeluarkan daripada pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, data awal yang dikeluarkan bagi tahun ini menunjukkan lebih satu per empat pelajar sekolah tinggi, menggunakan e-rokok dalam tempoh 30 hari lalu.

Antara perisa yang menjadi pilihan adalah buah-buahan, mentol dan pudina.

Menurut kenyataan itu, walaupun perisa tembakau akan dikecualikan dalam larangan itu, kesemua pengeluar perlu mendapatkan kelulusan FDA menjelang Mei 2020, jika ingin terus menjual produk mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");