PHNOM PENH: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan ASEAN masih relevan dengan perkembangan semasa, terutama dalam mengimbangi pengaruh kuasa besar dunia.
Perdana Menteri berkata, dalam kalangan blok negara serantau di dunia, ASEAN antara yang masih ‘hidup’ dan terus makmur, sekali gus memberi impak positif kepada 10 negara anggotanya.
“ASEAN masih kekal relevan, namun hubungan dalam kalangan negara anggota perlu sentiasa diperkukuhkan bagi memastikannya kekal aktif dan mampu mendepani cabaran yang diwujudkan oleh kuasa besar dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Mengimbangi Hubungan Kuasa Besar Dunia Dalam Konteks ASEAN di Royal University of Phnom Penh (RUPP), di sini sempena lawatan rasminya ke Kemboja bermula hari ini.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdulllah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Dr Chheam Reathy; dan Rektor RUPP, Dr Chet Chealy.
Bersandarkan pemerhatiannya, Dr Mahathir berkata ASEAN memperlihatkan pembangunan pesat sejak ditubuhkan, malah mencatatkan banyak kemajuan yang berpotensi besar dalam meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi negara anggotanya.
Malah, beliau menegaskan kesepakatan dalam kalangan negara anggota sebagai asas kekuatan ASEAN untuk diberikan tumpuan di peringkat global, khusus bagi mengimbangi pengaruh kuasa besar dunia.
“Kita hanyalah negara kecil jika bergerak sendirian. Atas sebab itu, kita bergerak dalam gabungan atau kumpulan negara serantau untuk membolehkan suara kita didengari dan diberikan perhatian,” katanya.
Lebih 700 peserta terdiri dari anggota Kabinet Kemboja, perwakilan asing, tokoh akademik dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) menyertai sesi dialog berkenaan.
Dr Mahathir turut menyatakan ‘Semangat ASEAN’ berada pada landasan tepat ke arah usaha mewujudkan wilayah ekonomi yang berdaya maju dan makmur.
“Berbanding kumpulan negara serantau lain, ASEAN bukan saja boleh bekerjasama, malah tiada masalah dalam kalangan negara anggotanya. Ini yang menjadi kelebihan kepada ASEAN hingga dikagumi kuasa besar dunia,” katanya.
Malah, gabungan ASEAN perlu kekal bagi membantu negara anggotanya mendepani sebarang situasi sukar yang berlaku susulan perang dagang membabitkan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat (AS).
Pada akhir sesi dialog itu, Dr Mahathir turut mengalu-alukan negara anggota ASEAN meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) mereka dalam pelbagai sektor dan industri di Malaysia.
“Namun, kita tidak boleh membiarkan pelaburan itu tidak dimonopoli negara tertentu. Kita perlu melindungi kepentingan negara. China ada duit… ada kepakaran. Namun, kita berpendirian perlu ada langkah kawalan supaya ekonomi kita tidak didominasi,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut dianugerahkan Anugerah Fellowship Kehormat RUPP bagi mengiktiraf kepemimpinan beliau memacu pembangunan dan sosio-ekonomi negara yang turut memberi kesan positif terhadap kemajuan serantau.
Ia juga bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa beliau yang kembali menerajui pentadbiran Malaysia, termasuk memperkenalkan dasar pentadbiran bersih dan berintegriti hingga dikagumi Kerajaan Kemboja.