Berita Hari Ini

ATM Teliti SOP Penggunaan Peluru Hidup

SUNGAI PETANI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan peluru hidup membabitkan demonstrasi yang dilakukan anggota pasukan berkenaan.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata bagaimanapun, pihaknya masih menunggu siasatan berhubung insiden seorang pegawainya maut terkena tembakan dalam demonstrasi pada 4 September lalu, sebelum sebarang keputusan diambil.

“Siasatan sedang dilaksanakan dan kita masih menunggu laporan siasatan, kalau tidak kita tidak boleh bagi komen.

“Namun, kita sedang melihat semula SOP, itu biasalah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Kasih: Kempen Derma Darah Veteran ATM di sini, hari ini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Sebelum ini, acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia yang diadakan bertukar tragedi apabila pegawai 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi itu.

Kejadian pada jam 8.40 pagi apabila Mohd Zahir yang melakukan gimik berlakon sebagai pengganas dengan memakai baju kalis peluru dan ditembak pegawai lain.

Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Sementara itu, lebih 400 veteran ATM hadir menderma darah pada program diadakan yang juga satu acara bersempena pelancaran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 pada 19 September depan.

Zulkifli turut menyeru masyarakat di seluruh negara untuk bersama menyumbang ke Tabung Pahlawan supaya sasaran kutipan sebanyak RM6 juta dapat dicapai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");