Perak Hari Ini

Belia Edar Bendera Semarak Hari Malaysia

IPOH- Seramai 70 orang sukarelawan melalui Program Fajar Sejuta Pemuda 2.0 mengedarkan sebanyak 1,000 bendera kepada masyarakat bersempena dengan Hari Malaysia.

Pengarah program, Helmi Kusahiry Nor Sahimy berkata, program tersebut dijalankan supaya dapat menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia bagi meraikan Hari Malaysia yang mana telah menyatukan Sabah, Sarawak serta Tanah Melayu di bawah satu nama iaitu Malaysia.

“Pada hari ini kita akan mengedarkan bendera dan pada keesokkan hari pula kita akan menyebarkan ‘vibes’ kepada pelajar sekolah dari tiga buah sekolah yang mana akan diadakan juga aktiviti bersempena dengan sejarah penggabungan ini.

“Program anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan organisasi sukarelawan iaitu Youth of Strength Happiness (YOSH) bersama Masjid Negeri Perak ini akan berlangsung selama dua hari iaitu 15 dan 16 September,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jelas beliau, secara keseluruhan seramai 120 orang pelajar sekolah akan diberi pendedahan dan 100 orang anggota polis akan menyertai qiamulail pada malam hari sehingga esok.

Katanya, melalui program berkenaan, pihaknya menghimpunkan belia berumur dalam lingkungan 18 hingga 22 tahun.

“Kita mahu para belia ini tidak membuang masa dan membuat aktiviti berfaedah kepada masyarakat serta diri sendiri khususnya mengenai pentingnya kecintaan kepada negara.

“Kita juga menggalakkan orang ramai supaya menyertai sukarelawan bersama YOSH supaya dapat menyertai lebih banyak aktiviti yang berfaedah.

“Dengan kerahan tenaga muda, kita mahu mereka menyebarkan mesej positif kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Tambah Helmi, Bandaraya Ipoh dipilih kerana kawasannya yang strategik serta menjadi tumpuan masyarakat Malaysia untuk menghabiskan masa seperti di Masjid India, UTC, Medan Selera Dato Sagor di mana terdapat ramai orang dan bendera lebih mudah diedarkan.

Beliu turut berharap agar program tersebut akan dilaksanakan lagi pada masa akan malahan dapat diperluaskan lagi supaya para belia dapat turun padang.

Dalam pada itu, kata peserta yang turut sama mengikuti program tersebut, Iman Ezrai Khairolnizam, beliau mahu menekankan kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak mengenai makna kemerdekaan selain dari menghabiskan masa denga membeli belah atau menonton wayang.

“Kita akan menyerahkan bendera kepada orang ramai selain dari menerangkan tentang makna merdeka kepada masyarakat disamping mengasah bakat dalam diri sendiri.

“Seperti yang kita sedia maklum, golongan muda kini lebih tertarik kepada penggunaan gadjet, bermain permainan atau media sosial di mana jika dapat dilihat platform tersebut sebenarnya boleh digunakan untuk mengajak ke arah kebaikan,” katanya.

Kata Noraina Natasha Ghazali pula, program kali pertama yang disertai beliau tersebut dapat menyemarakkan semangat patriotik kepada orang ramai melalui pengedaran jalur gemilang disamping menerangkan inti pati Hari Malaysia supaya mereka dapat mengenang semangat pejuang tanah air.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");