Panasnya Hari Ini

BERSATU Tentu Nasib Ahli MPT Kritik Parti

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan memutuskan nasib seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang membuat kritikan terbuka sehingga menjejaskan imej parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya, berkata perkara itu diputuskan melalui mesyuarat MPT minggu lalu, namun beliau tidak menyebut secara khusus nama ahli MPT dimaksudkan.

Katanya, MPT sepakat memutuskan untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin tindakan sesuai yang akan dikenakan kepada individu terbabit.

“Cara bagaimana dan tindakan apa bakal diambil, kita serahkan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti.

“Terpulang sama ada untuk menggantung keahlian, memberi amaran atau apa saja tindakan dirasakan sesuai mengikut peraturan ditetapkan parti,” katanya kepada BH sebagai mengulas tindakan terhadap ahli yang membuat kenyataan yang menjejaskan imej parti dan Pakatan Harapan (PH).

Khamis lalu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengingatkan pemimpin parti itu supaya berhati-hati membuat kenyataan dan pengumuman supaya tidak merosakkan imej parti.

Kenyataan itu dipercayai merujuk tindakan Ahli MPT BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, melalui sebuah forum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini, yang menyatakan PH bakal berdepan kekalahan dalam melawan gabungan UMNO-PAS jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Marzuki mengakui, kebanyakan ahli parti masih tidak berapa faham dengan peraturan, apatah lagi perlembagaan BERSATU baru dipinda, namun perkara itu tidak sepatutnya berlaku membabitkan ahli MPT.

Sebagai ahli MPT, katanya, individu berkenaan terbabit dalam setiap keputusan diambil membabitkan parti, malah amat memahami bahawa parti mempunyai saluran untuk mengemukakan setiap pandangan, kritikan mahu pun teguran.

“Kita ada organisasi, peraturan dan perlembagaan yang perlu dihormati semua. Itu sebab kita bentuk cawangan dan bahagian, yang mana akar umbi boleh menyuarakan teguran, pandangan, kritikan dan ulasan melalui saluran itu.

“Ahli jawatankuasa di peringkat cawangan dan bahagian pula boleh membawa suara akar umbi hingga MPT. Kita hairan mengapa ada ahli MPT mengeluarkan kenyataan berlawan dengan apa yang sudah diputuskan parti,” katanya.

Ditanya kenapa ahli MPT itu bertindak sedemikian, beliau berkata, kemungkinan individu itu tidak faham organisasi atau sengaja tidak menghormati organisasi.

“Teguran Pengerusi BERSATU baru-baru ini bukan bermakna parti menyekat suara akar umbi, sebaliknya ia (kritikan) perlu dibuat mengikut saluran yang ada dan kita mahu semua orang menghormati keputusan MPT.

“Kita tidak mahu ada orang keluarkan kenyataan bercanggah keputusan mesyuarat, apatah lagi berlainan dengan kenyataan Pengerusi atau Presiden kerana ia menjejaskan imej parti.

“Saya tengok ada sesetengah orang ambil mudah isu organisasi. Ada yang masuk parti untuk berseronok dan enggan menghormati organisasi. Mereka ini bukannya tidak pandai berpolitik, tetapi ‘terlebih pandai’ sehingga buat kenyataan tanpa merujuk pentadbiran dan keputusan parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");