Berita Hari Ini

Cadang Pelepasan Cukai Lebih Tinggi

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memberi perhatian agar kadar pelepasan cukai dinaikkan berikutan kos sara hidup yang tinggi, dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, ini penting terutama dalam keadaan persekitaran ekonomi yang belum menentu pada masa ini selain kos sara hidup yang tinggi.

“Sebab itu menjadi harapan kita agar kadar pelepasan cukai dinaikkan, contohnya untuk individiu daripada RM9,000 sekarang ini akan dinaikkan kepada RM18,000. Begitu juga kepada isteri yang tidak bekerja daripada RM2,000 dinaikkan ke RM5,000.

“Kadar ini (pelepasan cukai) sudah terlalu lama dan kita melihat bahawa ia tidak bersesuaian dengan kedudukan ekonomi semasa kita. Jadi pelepasan ini bolehlah menjadi wang untuk dibelanja.

“Saya yakin dengan perbelanjaan itu, ekonomi kita akan lebih makmur dan berdaya saing serta dinamik untuk memperkuatkan daripada segi struktur ekonomi kita. Itu harapan kita dan dengan dengan kenaikan kadar pelepasan cukai itu juga, kita harap beban ditanggung keluarga untuk perbelanjaan rutin atau isi rumah dapat disusun semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi CUEPACS Sabah yang baharu bagi sesi 2019-2021, Adamin Mokh.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS turut mencadangkan bonus sebulan gaji kepada penjawat awam di negara ini.

“Harapan kita pada bajet (belanjawan) nanti, ada peruntukan bonus diberikan kepada penjawat awam dengan cadangan kita sekurang-kurangnya sebulan gaji, walau mumgkin ada pihak yang kurang setuju.

“Dalam masa sama, kita juga meminta agar anggota perkhidmatan awam dikekalkan dengan saiz yang ada sekarang iaitu 1.26 juta orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan tahniah kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober ini.

“Kita berharapdengan pelantikan ini, teraju kepemimpinan awam ini diteruskan dengan baik dan sempurna serta banyak perkara yang tertunggak dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berharap masalah dihadapi 58 juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang berstatus sementara dapat diselesaikan sekali gus diserapkan sebagai penjawat awam tetap.

“Saya dimaklumkan 58 juruteknik JKR lantikan 2013 ini masih berstatus sementara walaupun sepatutnya sudah diserap menjadi penjawat awam tetap sebagai penolong jurutera pada 2014. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Oleh itu, CUEPACS sedia untuk berjumpa dengan pihak JKR dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah untuk membincangkan perkara ini,” katanya sambil menambah masalah itu baharu dimaklumkan kepadanya hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");