Perak Hari Ini

Cecair Kimia Tumpah : Tiada Bahan Bahaya Di Udara

BAGAN SERAI – Tiada bahan berbahaya dikesan di udara sekitar Kampung Parit Mentara 3, di sini susulan tumpahan kira-kira 20,000 liter bahan kimia jenis ‘Aceton’, awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah menggunakan tiga jenis alat pengesan bahan kimia berbahaya iaitu kertas litmus, ‘GFG 450’ dan Gasmed.

Katanya pengesanan tiga kali menggunakan kertas litmus dan GFG 450 sebanyak empat kali tidak memberikan sebarang bacaan yang membimbangkan.

“GFG 450 boleh mengesan empat bahan utama iaitu oksigen, karbon dioksida, gas metana dan hidrogen sulfida dan pemantauan sehingga pukul 3 pagi tidak menunjukkan adanya bahan bahaya di udara,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohamad Yunus, pengesanan menggunakan Gasmed yang mampu mengesan sehingga 2,500 bahan kimia dan telah digunakan ketika operasi di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Mac lalu juga tidak menunjukkan bacaan berbahaya di udara.

Sehubungan itu, Mohamad Yunus menasihati penduduk sekitar supaya tidak panik kerana pihak bomba sentiasa mengambil langkah wajar untuk mengurangkan sebarang risiko.

Katanya pihak bomba juga telah mengalirkan dan memasukkan air ke dalam tangki lori terlibat bagi memastikan bahan kimia Acetone berada dalam keadaan terlarut selama tiga jam bermula pukul 1 pagi tadi.

Mengenai operasi mengalihkan lori tangki yang terbalik, Mohamad Yunus berkata pihaknya berdepan kesukaran kerana laluan ke lokasi bukan sahaja sempit, malah jalan juga lembut dan ia menyukarkan kren untuk masuk.

“Pihak kami akan cuba untuk memindahkan lori tangki itu hari ini juga dengan jangkaan selesai lewat petang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Parit Mentara 3, Halmi Omar berkata tiada arahan terbaharu untuk mengosongkan rumah setakat ini menjadikan mereka yang berpindah kekal tiga keluarga melibatkan 10 orang.

“Semua penduduk memberikan kerjasama dengan mematuhi setiap arahan dan kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan laluan itu merupakan jalan utama penduduk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Masrah Masran, 76, mendakwa anak lelakinya berumur 30-an dimasukkan ke Hospital Parit Buntar petang semalam setelah mengadu pening, muntah dan loya dipercayai terhidu bahan kimia.

“Saya, empat cucu dan seorang anak diarahkan berpindah ke surau Ar-Rahman sejak semalam,” katanya ketika ditemui Bernama.

Tinjauan Bernama juga mendapati dua pegawai perubatan dari Pusat Kesihatan Daerah Kerian turut melakukan pemeriksaan terhadap penduduk di lokasi.

Semalam, lori tangki dengan muatan Aceton yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang itu terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira pukul 5 pagi.

Acetone merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut, antaranya untuk cat serta pewarna kuku.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");