Sukan Hari Ini

Chin Aun Mahu Harimau Malaya Tenang Hadapi Indonesia

MELAKA: Pemain skuad Harimau Malaya perlu mengekalkan disiplin tinggi sepanjang 90 minit berdepan Indonesia pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, jam 8.30 malam esok.

Menurut BH Online, legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun ketika memberi nasihat itu berkata, disiplin di dalam dan luar padang amat penting bagi menghadapi serangan psikologi pemain tuan rumah dan penyokong fanatik mereka yang boleh menjejaskan usaha skuad negara mencipta kemenangan.

Katanya, disiplin juga merangkumi ketika aksi bertahan, mengatur gerak dan memburu jaringan dengan pemain tidak perlu terikut-ikut dengan provokasi lawan mahupun penyokong skuad tuan rumah.

“Kesungguhan tinggi dan kekuatan mental amat penting bagi menghadapi situasi luar jangkaan yang boleh berlaku.

“Saya percaya jika semua pemain memberi fokus tinggi terhadap tugasan masing-masing, tidak mustahil gerakan lebih efektif mampu diterjemahkan,” katanya yang pernah meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Tehran 1974.

Chin Aun yang juga bekas kapten negara mahu anak buah Tan Cheng Hoe membentuk rangkaian agresif yang mantap dalam semua pergerakan permainan dan tidak terlalu tertekan dengan aspek keselamatan yang tular di media sosial.

Mengulas ketika dia beraksi mewakili negara sejak 1970-1985, beliau menjelaskan tiada perkara tidak diingini berlaku kepada pemain skuad kebangsaan ketika beraksi di gelanggang lawan termasuk di Jakarta.

“Walaupun penonton lebih 100,000 pada masa itu perlawanan berjalan lancar dengan keselamatan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Apa yang penting pemain harus menggunakan kemahiran yang ada mengikut perencanaan jurulatih bagi menampilkan persembahan berkualiti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");